POLIS mengesahkan telah menerima laporan daripada suspek yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek yang merupakan peniaga makanan berusia 41 tahun telah tampil membuat laporan di Balai Polis Trafik Kajang semalam.
Beliau berkata, siasatan mendapati ketika kejadian suspek dalam perjalanan dari Ampang ke kediamannya di Kajang.
“Suspek telah tersesat dan membuat keputusan untuk memasuki jejambat SUKE dengan melawan arus sebelum berlaku kemalangan dengan mangsa.
“Akibat pergeseran dengan motosikal mangsa, suspek juga telah terjatuh dari motosikalnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, selepas kemalangan suspek telah pulang ke rumah dan hanya mengetahui mengenai kemalangan tersebut menerusi hebahan media sosial dan berita di televisyen.
Pemeriksaan mendapati suspek mengalami kecederaan patah di bahu kanan, patah jari kelingking, luka di bahu kiri dan kaki kanan.
“Polis telah merampas sebuah motosikal jenis Yamaha dan beberapa barang kes lain.
“Sebanyak enam rakaman percakapan termasuk saksi dan suspek telah direkodkan,” ujarnya.
Mohd Azam berkata, tangkapan tidak dibuat memandangkan suspek dalam keadaan cedera parah dan sukar bergerak.
Jelasnya, tindakan lanjut akan diambil setelah suspek stabil dan kedua-dua buah motosikal yang terlibat telah dihantar ke PUSPAKOM dan Jabatan Kimia bagi pemeriksaan lanjut.
UtusanTV sebelum ini melaporkan mangsa yang dikenali sebagai Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, meninggal dunia selepas terjatuh dari jejambat lebuh raya dengan ketinggian 30 meter selepas mengelak sebuah motosikal yang dipandu melawan arus.
Allahyarham yang menunggang motosikal jenis Ducati Panigale maut di lokasi kejadian dan rakaman CCTV kejadian berkenaan tular menerusi media sosial.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

