Sheila Majid bawakan muzik jaz eksklusif untuk peminat Sabah pada Ogos depan

Dari Penulis

JIKA ada yang beranggapan bahawa Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur adalah satu-satunya persembahan skala besar yang dijayakan oleh biduanita negara ini pada 2023, simpan tekaan tersebut.

Ini kerana penganjur, Firm Horizon Sdn. Bhd. dengan bangganya mengumumkan Sheila Majid Big Band Live In Sabah yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 12 Ogos depan.

Pengumuman tersebut dibuat pada sidang media Sheila Majid Big Band Live in Sabah yang bertempat di Hotel Hyatt Centric, Kota Kinabalu. Sidang media ini turut dihadiri penyanyi jazz legenda negara, Datuk Sheila Majid. Konsert ini juga dibawakan oleh AL Activators Sdn. Bhd. selaku penganjur bersama.

Konsert ini yang mendapat sokongan penuh daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah, kata penganjur dibawakan ke Kota Kinabalu demi memberikan pengalaman berharga buat peminat Sheila Majid di Sabah yang terlepas menyaksikan Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur pada 18 Mac lalu.

Menurut Pengarah Urusan Firm Horizon Sdn. Bhd., Encik Raymond Fang, setelah mengambil kira semua faktor dan jumlah peminat Sheila Majid yang sangat banyak, Firm Horizon Sdn. Bhd dengan berbesar hati mengumumkan Konsert Sheila Majid Big Band yang mendapat sambutan cukup hangat di Kuala Lumpur pada Mac lalu akan dibawakan secara eksklusif kepada para peminat di Borneo, terutamanya di Kota Kinabalu.

“Penganjuran yang mendapat sokongan penuh daripada Pejabat Ketua Menteri ini berjaya direalisasikan kerana kami memperoleh permintaan yang tinggi dalam kalangan peminat yang terlepas menonton konsert di Kuala Lumpur kerana tiket habis dijual dalam masa yang singkat,” katanya.

Firm Horizon Sdn. Bhd. juga mempunyai tujuan murni untuk menyalurkan sebahagian kutipan tiket kepada Yayasan Kebajikan Sabah untuk membantu usaha kebajikan organisasi itu.

“Malah sebahagian keuntungan bersih hasil kutipan tiket akan disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Sabah untuk membantu pihak yang memerlukan. Ini juga adalah inisiatif kami untuk memberi semula kepada masyarakat melalui bidang hiburan.

“Jadi buat peminat di Borneo atau di Kota Kinabalu mahupun di mana kalian berada, jangan terlepas peluang untuk menyaksikan Sheila Majid Big Band Live di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu pada 12 Ogos depan,” ujarnya.

Sheila menunaikan janjinya apabila Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur bukanlah satu-satunya konsert yang dianjurkan pada tahun ini, kerana dia pernah mengatakan tidak akan menolak seandainya konsep yang sama dibawa keluar dari Kuala Lumpur.

“Saya bersyukur kerana konsep persembahan Sheila Majid Big Band ini diterima peminat saat dijayakan di Kuala Lumpur pada Mac lalu sehingga menarik minat Firm Horizon Sdn. Bhd. dan AL Activators Sdn. Bhd. untuk membawakannya ke Kota Kinabalu, buat para peminat saya di Borneo.

“Apa lagi yang boleh saya katakan selain berterima kasih kepada peminat yang tidak pernah jemu mahu mendengar nyanyian saya dan menikmati karya-karya saya.

“Tentu sekali akan ada repertoire lagu seperti Pengemis Muda dan Warna bersama lagu lainnya yang menerima sentuhan baharu sesuai konsep Big Band yang dibawakan. Paling penting, sebahagian kutipan tiket Sheila Majid Big Band Live In Sabah ini akan disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Sabah dalam usaha memberi semula kepada masyarakat,” ujarnya.

Sheila Majid Big Band Live In Sabah kelak akan menyaksikan Sheila diiringi 17 pemuzik terdiri daripada pemain hon, pemuzik band, dan penyanyi latar yang diketuai oleh satu-satunya meastro, Mac Chew.

Tiket dijual melalui laman sesawang smlkk.qtic.my. Harganya adalah RM238 (Emas), RM388 (Platinum), RM588 (Berlian), dan RM738 (VIP). Tiket VIP berpeluang memenangi sesi “meet & greet” dengan Sheila Majid.

Kunci tarikh 12 Ogos depan hanya untuk Sheila Majid Big Band Live In Sabah. Bah, sampai jumpa di Kota Kinabalu, Sabah!


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Saya tak kejar populariti, cukuplah lagu saya menggamit memori…,” – Jamal Abdillah bicara soal gelaran Biduan Negara

MENGHAMPIRI lima dekad mendaki puncak populariti dalam industri muzik tanah air, nama Raja Pop negara, Datuk Jamal Abdillah, tidak...

More Articles Like This