INDUSTRI muzik tempatan kini berdepan dengan satu ancaman baharu yang tidak kelihatan tetapi memberi impak yang sangat mendalam iaitu Kecerdasan Buatan (AI).
Menyedari karya kreatif semakin mudah dieksploitasi secara senyap, gabungan gergasi muzik tanah air di bawah payung Malaysia Music Rights Alliance (MMRA) kini bangkit menuntut campur tangan segera daripada pihak kerajaan.
Dalam satu langkah proaktif yang mendapat perhatian ramai, MMRA baru-baru ini telah mengutus surat rasmi kepada Perdana Menteri, barisan Menteri Kabinet berkaitan, serta Pejabat Kecerdasan Buatan Negara (NAIO).
Tujuan persatuan ini hanya satu iaitu memastikan Akta Hak Cipta sedia ada diperkukuh agar pembangun sistem AI tidak lagi sewenang-wenangnya ‘merompak’ lagu, penulisan, dan suara pemuzik tempatan tanpa kebenaran semata-mata untuk melatih model teknologi mereka.
Mewakili suara pencipta lagu dan penulis lirik, Pengerusi MACP yang juga figura legenda seni negara, Datuk M. Nasir menegaskan bahawa seni itu adalah cerminan jiwa yang mustahil untuk diciplak oleh mana-mana perisian komputer.
“Hak cipta ini lahir daripada pengalaman kita bernafas di dunia nyata, ia dibentuk oleh emosi dan keperibadian manusia itu sendiri.
“Seni adalah terjemahan budaya dan memori, bukan sekadar penjanaan data secara rawak.
“Sampai bila-bila pun, kecanggihan sesuatu mesin tidak akan mampu meniru roh, niat dan keaslian makna yang dicipta oleh akal budi manusia,” katanya.
Turut senada menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman ‘plagiarisme alaf baharu’ ini adalah Ratu Jazz Negara, Datuk Sheila Majid yang mewakili RPM.
Beliau amat menitik beratkan hak dan keunikan seseorang penghibur.
“Setiap penyanyi itu dianugerahkan keunikan serta identiti vokal tersendiri yang dipacu oleh emosi, membolehkan muzik menyentuh hati pendengar.
“Penyampaian tulus ini tidak wajar dan tidak mampu direplikasi oleh mesin.
“Biarpun AI boleh dijadikan alat bantu kreatif, ia sama sekali tidak patut dibenarkan untuk meniru karya seniman lain kerana itu adalah plagiarisme yang terang-terangan.
“Kita tidak boleh membiarkan peranti mesin belajar dan mengaut keuntungan daripada bakat artis tanpa persetujuan mereka,” ulasnya.
Dalam pada itu, tuntutan utama MMRA adalah membantah sekeras-kerasnya cadangan pengecualian Perlombongan Teks dan Data (TDM).
Jika pengecualian ini diluluskan di bawah akta, ia ibarat memberi ‘lesen besar’ kepada syarikat teknologi untuk mencedok karya seni tempatan sesuka hati tanpa perlu membayar sesen pun pampasan kepada pemilik asal.
Malah, gabungan ini turut mendesak kerajaan agar mewajibkan sistem pelabelan atau penanda air (watermarking) bagi setiap kandungan muzik yang dijana AI.
Langkah ini dilihat kritikal demi mengekang penularan kandungan ‘deepfake’ yang boleh menipu dan mengelirukan para peminat hiburan tanah air.
Bagi Pengerusi RIM dan PPM, Rosmin Hashim, sebarang kelonggaran undang-undang hanya akan meruntuhkan industri yang telah dibina selama berdekad-dekad hasil keringat penggiat seni.
“Tindakan membenarkan pengecualian TDM di negara kita adalah satu kesilapan yang hanya akan membuka pintu kepada krisis cetak rompak digital yang lebih parah.
“Pembangun AI wajib memohon keizinan pemilik karya sebelum menggunakan sebarang bahan berhak cipta untuk melatih mesin mereka,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi MPA, Ng Ay Na mengambil pendekatan yang lebih harmoni terhadap teknologi, namun dengan syarat yang ketat.

“Sebagai wakil penerbit muzik, kami tidak menolak kemajuan AI dan sedia bekerjasama untuk memajukan industri, asalkan ia dilakukan berlandaskan undang-undang yang adil.
“Kebenaran mesti dipohon dan pampasan yang setimpal wajib dibayar kepada pemegang hak cipta,” katanya.
Isu ini sebenarnya melangkaui soal seni dan merangkumi kelangsungan ekonomi gergasi.
Rekod kajian kewangan menunjukkan industri muzik telah menjana nilai ekonomi mencecah RM19.4 bilion untuk tempoh lima tahun berturut-turut, di samping menyediakan ratusan ribu peluang pekerjaan.
Jika harta intelek ini tidak dikawal selia dengan undang-undang ketat dalam mendepani arus revolusi AI, ekosistem hiburan dan ekonomi kreatif Malaysia berisiko tinggi untuk lumpuh.
MMRA adalah badan gabungan gergasi yang terdiri daripada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Music Publishers Association Malaysia (MPA), Music Authors’ Copyright Protection Berhad (MACP), Public Performance Malaysia Berhad (PPM), dan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM).

