SELEPAS empat dekad mewarnai industri muzik tanah air dengan suara lunaknya yang ikonik, penyanyi legenda Datuk Sheila Majid,60, terus membuktikan keteguhan dan keistimewaan dirinya sebagai artis serba boleh dengan pelancaran single terbaharu berjudul Moving On.
Single ini dilancarkan bersempena dengan ulang tahun ke-40 perjalanan seninya dan diraikan dalam sebuah majlis eksklusif di Pavilion Damansara Heights, Damansara, baru-baru ini.
Menurut Sheila, Moving On bukan sekadar karya baharu, tetapi sebuah simbol perjalanan peribadi dan kerohanian yang mencerminkan fasa baharu dalam hidup dan kerjayanya.
“Saya tidak kejar trend. Saya mengejar rasa dan jiwa. Lagu ini memberikan saya ilham untuk terus berkarya kerana saya saksikan dunia kini telah berubah.
“Begitu juga saya. Tetapi saya tetap kenal dengan diri saya,” katanya.

Lagu ini membawakan mesej penyembuhan, kekuatan dan kebebasan, diadun dengan elemen muzik disko klasik dan nu-disco kontemporari yang segar.
Ia menampilkan bunyi-bunyian yang mengimbau era kegemilangan muzik 80-an, namun tetap kekal relevan dengan cita rasa generasi masa kini.
Inspirasi Daripada Dua Generasi
Sheila turut berkongsi bahawa sejak era pasca pandemik, karya-karya lamanya, terutamanya lagu ikonik Sinaran kembali mendapat perhatian dan sambutan hangat dalam kalangan generasi muda di platform digital.
Faktor ini memberi motivasi besar buatnya untuk terus menghasilkan muzik yang menyatukan dua generasi dengan harapan agar karyanya terus diterima semua peringkat umur.
Moving On menyampaikan naratif tentang pencarian diri, terutamanya dalam kalangan anak muda yang berdepan tekanan hidup dan cabaran membina identiti dalam dunia digital yang pantas lagi menekan.
Kolaborasi Antarabangsa Bertaraf Dunia
Bagi menjayakan visi muzik terbaharunya, Sheila bergabung tenaga dengan penerbit terkenal dari Korea Selatan, Hyuk Shin, yang mempunyai pengalaman luas dalam menghasilkan lagu-lagu bertaraf antarabangsa.
Menurut Sheila, inspirasi utama mood lagu ini datang daripada bintang era disko terkenal seperti Donna Summer dan Diana Ross, sekaligus mencerminkan minat mendalamnya terhadap groove dan city pop era 80-an, genre yang kini kembali menjadi kegemaran ramai anak muda.
“Sheila bukan sekadar legenda. Dia masih mencipta dan mengilhamkan karya indah.
“Dan Moving On membuktikan bahawa seni sebenar akan sentiasa ada tempat di hati pendengar,” ” ujar Kim Lim, wakil daripada Universal Music Malaysia.
Aktiviti Istimewa Sempena Pelancaran
Majlis pelancaran turut diserikan dengan pelbagai aktiviti interaktif untuk peminat, antaranya:
- Persembahan istimewa daripada artis jemputan seperti Tabby, NAKI dan Gaston Pong.
- Pertandingan ‘Best Dressed’ yang menawarkan hadiah menarik berupa tiket ke konsert Sheila Majid kepada tetamu bertuah yang tampil paling bergaya mengikut tema.
Bukan itu sahaja, acara yang bakal berlangsung awal September ini juga akan menampilkan aktiviti concourse khas di lokasi sama termasuk pameran memorabilia Sheila Majid yang mengetengahkan detik-detik penting sepanjang karier seninya sejak tahun 1985.
Legenda Yang Terus Bersinar
Sheila bukan sahaja kekal relevan dalam arus muzik semasa, malah terus memperkaya warisan seni Malaysia dengan karya-karya yang penuh nilai estetika dan emosi.
Dengan pelancaran Moving On, Sheila sekali lagi membuktikan bahawa dia bukan sekadar penyanyi legenda tetapi juga pencipta seni yang abadi.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

