MELAKUKAN senaman setiap hari adalah rahsia awet muda penyanyi dan pelakon popular Hong Kong, Aaron Kwok mengekalkan stamina.
Biarpun usianya bakal menginjak 58 tahun pada Oktober depan, Aaron atau Aaron Kwok Fu-shing itu sentiasa tampil segar dan bertenaga sepanjang hari.
“Tidak kisahlah sama ada saya pelakon atau penyanyi, saya akan pastikan saya bersenam setiap hari.
“Selain untuk menyanyi, saya bersenam demi kekalkan stamina di lokasi penggambaran.
“Saya banyak lakukan senaman kardio dan larian. Memang sudah menjadi rutin wajib saya setiap hari.
“Bagi saya, penting untuk kekalkan stamina sebelum memulakan hari baharu,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada sidang akhbar di sebuah hotel terkemuka ibu negara, hari ini.
Dalam pada itu, ditanya tentang tips untuk kekal relevan dalam industri, kata Aaron yang sudah 20 tahun berkecimpung dalam dunia seni, peminat ada kekuatannya untuk terus bekerja keras.
“Saya berada pada tahap sekarang adalah kerana sokongan tidak berbelah-bahagi peminat termasuk mereka yang berada di Malaysia.
“Apabila saya buat persembahan, peminat beri sokongan dan menyanyi bersama, itu adalah sumber kekuatan saya terus berkarya,” kata pelakon Cold War.
Sementara itu, dalam majlis sama, Aaron menerima Anugerah Pencapaian Filem Cemerlang daripada Malaysia International Film Festival (MIFFest).
Anugerah tersebut akan berlangsung pada 29 Julai di Zepp, Kuala Lumpur.
“Sebagai seorang pelakon, saya akan terus bekerja keras untuk menghasilkan kerja yang baik.
“Saya hargai semua pujian. Ini bermakna, apa yang saya lakukan sejak 20 tahun, adalah satu keputusan yang tepat,” ujarnya.
Aaron akan mengadakan konsert Aaron Kwok Amazing Kode World Tour 2023 selama tiga hari di Arena of Stars, Genting Highlands bermula 23 Jun ini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

