Semasa kecil, pasti ada situasi di mana si ibu tetap mendahulukan anaknya menjamu selera berbanding dirinya sendiri. Si anak yang peka mungkin bertanya, “Mak dah makan ke?” Inilah manifestasi cinta seorang wanita bergelar ibu kepada anaknya. Si ibu akan hanya menjamah nasi atau hidangan setelah anaknya benar-benar kenyang.
Dalam kes seorang kakak yang sanggup mengutamakan adik-adiknya atau ibu bapanya yang uzur tidak bermaya, tidak dinafikan ini adalah satu pengorbanan yang agung. Kita biasa mendengar cerita seorang kakak atau abang tidak berkahwin atau tidak ke universiti dan memilih untuk bekerja mencari pendapatan semata-mata untuk menanggung perbelanjaan adik-adiknya hingga berjaya dalam pelajaran.
Apa yang pasti, tidak semua di kalangan kita mampu melakukan hal yang sama jika berada di tempat mereka. Ia ‘umpama lilin membakar diri untuk menerangi’ Mereka berkorban diri demi kebaikan orang lain.
Walau bagaimanapun, fenomena berkorban sehingga mengenepikan hak diri sendiri ini masih ada had dan batasannya. Jangan sampai pihak yang berkorban diri tadi sengsara jiwa dan terkorban segalanya.
Misalnya, seorang kakak menghabiskan semua wang simpanannya untuk beri adiknya makan, sedangkan diri sendiri sanggup berlapar sepanjang minggu dan akhirnya mendatangkan penyakit kronik pula kepada tubuh badannya.
Islam tidak menggalakkan umatnya melakukan sesuatu pekerjaan yang boleh memudaratkan diri sendiri secara total. Ini sudah terkeluar dari maksud sebenar pengorbanan.
Berkorban dalam Islam ada batasan dan syaratnya. Pada setiap tahun, umat Islam akan menyambut Aidiladha atau Hari Raya Haji. Pada masa inilah ibadah korban disunatkan kepada umat Islam yang mampu.
Antara hikmah di sebalik ibadah korban ini ialah melahirkan tanda bersyukur kepada Allah s.w.t. terhadap nikmat-nikmat-Nya yang melimpah ruah dan menanamkan perasaan kasih sayang antara si kaya dengan si miskin.
Jadi, jika seseorang itu sanggup berkorban dengan terus menyimpan duitnya dan mengekang nafsu makan dan minumnya, dalam masa yang sama tidak mengendahkan soal pakaian dan tempat tinggalnya yang telah lusuh atau rosak, mengabaikan keperluan isteri dan anak-anaknya hanya semata-mata untuk matlamat duniawi misalnya untuk membeli sebuah smartphone terkini, i-Pad termahal atau Mercedes Benz model terbaru, ini adalah perbuatan yang dilarang oleh agama.
Walaupun dia seorang yang berada, sepatutnya dia hendaklah melahirkan kesyukuran atas kekayaannya dengan mengutamakan yang utama. Jangan sampai nafkah dan makan pakai anak isterinya tidak terurus disebabkan ‘pengorbanan’ yang tulus tadi.
Apatah lagi jika berbelanja besar kepada perkara yang diharamkan agama seperti pelacuran, arak dan judi. Bukan tidak boleh orang-orang berada berbelanja secara mewah, tetapi ia haruslah terkawal dan tidak melanggar batas agama.
Benar, ada orang yang sanggup berkorban apa sahaja, harta atau nyawa demi mencapai matlamatnya. Namun kita juga terikat kepada prinsip ‘aulawiyat’ (keutamaan) dalam hidup dan juga maslahah (kebaikan) hidup dan mesti menjauhkan kemudaratan kepada diri sendiri.
Seorang pekerja sederhana gajinya yang baru bekerja dan belum ada kereta bolehlah menyimpan untuk membeli sebuah kereta, tapi bukan sebuah kereta mewah. Berkorbanlah sebaiknya, jangan sampai terkorban sebaliknya.
LAKUKAN IBADAH KORBAN DENGAN KEMAMPUAN DIRI
Umat Islam yang berkemampuan amat dituntut untuk menunaikan ibadah korban. Galakan berkorban disebut di dalam surah al-Kauthar, ayat 2 yang bermaksud “Maka tunaikan solat kerana Tuhanmu dan sembelihlah korban.”
Mazhab Syafi’i menyatakan hukumnya sebagai sunat muakad. Islam tidak pernah menggalakkan pertandingan korban siapa yang paling banyak dan binatang korban siapa yang paling mahal, bahkan umat Islam sepatutnya memahami falsafah besar di sebalik ibadah korban yang disyariatkan semasa musim haji setiap tahun ini.
Allah s.w.t. berfirman di dalam ayat ke-37 surah al-Hajj, mafhumnya “Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu.”
Tuhan menyatakan dengan jelas bahawa Dia tidak sekali-kali akan menerima daging atau darah korban itu, tetapi takwa dan keikhlasan mereka yang melakukan ibadah korban itulah yang akan sampai kepada Allah s.w.t.
Justeru, sama-samalah kita memuhasabah diri masing-masing sama ada kita telah melakukan pengorbanan dan penyucian diri yang maksimum semata-mata hanya kerana Allah atau mungkinkah ada lagi niat atau matlamat yang terselindung di sebalik kerancakan kita menyambut Aidiladha dan ibadah korban pada tahun ini. Semoga Allah mengampuni segala dosa dan meredhai pengorbanan kita.

