Pelajar lepasan SPM tidak berminat sambung belajar. Apakah solusinya?

Dari Penulis

DAHULU pelajar lepasan SPM berlumba-lumba untuk menyambung pelajaran tetapi kini tidak lagi apabila Jabatan Perangkaan Malaysia mendedahkan 72.1 peratus calon SPM tidak berminat untuk menyambung pelajaran.

Hasil kaji selidik yang dijalankan pada tahun 2019 yang membabitkan 560,000 lepasan SPM itu mendapati hanya 170,000 lepasan SPM yang berminat untuk menyambung pelajaran.

Walaupun data tersebut diambil dari tahun 2019 tetapi trend tersebut dijangka akan terus berlanjutan sehingga ke tahun – tahun hadapannya.

Isu ini jelas telah membangkitkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat kerana isu ini melibatkan generasi muda yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara.

Perkara itu juga dikhuatiri akan memberi kesan kepada produktiviti negara bahkan usaha negara untuk melahirkan lebih ramai tenaga pakar yang profesional pada masa akan datang juga terjejas.

Anak muda sepatutnya tidak mensia-siakan peluang yang ada untuk memperkasakan pendidikan selagi ia terbentang luas di hadapan mata.

Islam juga menekankan umatnya supaya berilmu, mengamalkan dan mengajarnya. Betapa pentingnya ilmu dan pembelajaran, sehinggakan di dalam al-Quran surah Al-’Alaq ayat pertama sehingga kelima ada berkaitan dengan ilmu.
اِقۡرَاۡ بِاسۡمِ رَبِّكَ الَّذِىۡ خَلَقَ​ۚ‏ ﴿96:1﴾ خَلَقَ الۡاِنۡسَانَ مِنۡ عَلَقٍ​ۚ‏ ﴿96:2﴾ اِقۡرَاۡ وَرَبُّكَ الۡاَكۡرَمُۙ‏ ﴿96:3﴾ الَّذِىۡ
عَلَّمَ بِالۡقَلَمِۙ‏ ﴿96:4﴾ عَلَّمَ الۡاِنۡسَانَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡؕ‏ ﴿96:5﴾
Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan!(1) Dia menciptakan manusia dari segumpal darah (2) Bacalah! Tuhanmulah Yang Mahamulia (3) yang mengajar (manusia) dengan pena.(4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya(5)

Apakah puncanya?
Adakah mereka merasakan pendidikan adalah tidak penting lagi atau mereka merasakan sudah cukup dengan sekadar SPM sahaja?

Perubahan semasa menyebabkan minat pelajar lepasan SPM untuk menyambung pelajaran kian luntur dan mungkin ada antaranya yang dipengaruhi dengan mentaliti pendidikan tidak menjamin masa depan.

Ramai anak muda terikut-ikut untuk menjadi pempengaruh media sosial yang disangka akan memberi kesenangan dan kemewahan dengan kadar segera.

Ini jelas berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Undian Universiti UCSI yang mendapati mereka yang tidak melanjutkan pelajaran memilih untuk menjadi influencer atau pempengaruh media sosial.

Tidak salah untuk menjadi pempengaruh, namun persoalannya adakah pelajar yang tidak mahu melanjutkan pelajaran ini berbakat untuk menghasilkan kandungan-kandungan yang menarik setiap hari? Adakah semuanya akan bernasib baik untuk bergelar pempengaruh?

Persoalan-persoalan ini perlu dijawab dengan jujur oleh mereka yang berminat untuk menjadi pempengaruh dan tidak lagi ingin melanjutkan pelajaran.

Selain itu, faktor kewangan menjadi salah satu punca kenapa ramai pelajar lepasan SPM memilih untuk tidak menyambung pelajaran mereka kepada tahap yang lebih tinggi. Pendek kata, bukan sahaja mereka perlu memikirkan yuran pengajian yang berpuluh-puluh ribu ringgit, mereka juga perlu memikirkan bagaimana cara untuk melangsungkan kehidupan mereka di universiti. Belum ditambah lagi, masih ada atau tidak peluang pekerjaan buat mereka selepas tamat pengajian nanti.

Dalam pada itu, evolusi pekerjaan ketika ini yang banyak melibatkan teknologi, membuatkan golongan muda lebih cenderung memilih pekerjaan yang tidak terikat dengan sistem majikan.

Anak muda ketika ini lebih gemar mencari pekerjaan yang masanya lebih fleksibel, contohnya pekerjaan dalam ekonomi gig seperti penghantar makanan dan pemandu sambilan.

Mereka dilihat tidak mahu lagi menerima tekanan dalam pelajaran, di samping berasakan tiada masa depan sekiranya menyambung pelajaran ke peringkat tinggi.

Solusi
Walaupun begitu, terdapat sekelompok pelajar yang percaya dengan pelajaran sahaja mampu mengubah nasib diri dan keluarga.

Pendidikan belum tentu mampu menjanjikan masa depan yang cerah. Namun, ilmu mampu mengubah cara individu untuk mendepani cabaran hidup yang lebih matang dan bijaksana melalui adab dan pemikiran.

Pastinya sesiapa yang mempunyai ilmu akan diperlukan dan mampu menjadi penambah baik terhadap kualiti kehidupan.

Untuk itu, penulis mencadangkan agar kerajaan memikirkan sesuatu yang lebih segar dalam membantu pelajar-pelajar di masa hadapan. Salah satunya mungkin mengurangkan kadar yuran, menawarkan kursus jangka pendek dan fleksibel serta tawaran kursus yang bersesuaian dengan sektor ekonomi semasa untuk menarik lepasan SPM melanjutkan pelajaran. Jurusan-jurusan yang penting perlu diteruskan dan kerajaan mungkin boleh fikir untuk memansuhkan jurusan-jurusan yang telah terbukti sebelum ini kurang mampu menjanjikan pekerjaan kepada para pelajar dalam industri sebenar.

Selain itu, satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan melibatkan pelbagai pihak seperti pihak kerajaan, pakar pendidikan, dan swasta, bagi membincangkan dan mencari pendekatan terbaik untuk menangani isu ini.

Semoga generasi baru di negara kita ini akan terus berminat untuk menyambung pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Sesungguhnya, hanya generasi berilmu yang dapat membawa negara kita ke tahap yang lebih baik dan seterusnya menjadi sebuah negara maju. Bak kata Bung Karno yang cukup popular, “Berikan aku 10 pemuda, niscaya akan kugoncangkan dunia”, semestinya kita mahukan pemuda yang bukan hanya gagah fizikalnya, tetapi juga rohani dan ilmunya untuk menjadi sebuah negara yang berjaya.

  • – ARTIKEL sumbangan Abqariatun Nisa’ Mohd Nizam, pelajar jurusan Komunikasi dan Dr Muhammad Raqib, Pensyarah Kanan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Satu ID untuk kuasai semuanya: MyDigital ID ‘hadiah’ atau kuda Trojan?

JIKA anda cuba memperbaharui cukai jalan minggu lalu dan dipaparkan mesej timbul “Oops! Something went wrong”, anda bukan bersendirian....

More Articles Like This