OLEH: PROF MADYA DR NURAZILAH ZAINAL & DR SUHAIMI ABD SAMAD
PENGUMUMAN penghargaan kepada rakyat yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam memberikan nafas lega dan senyuman kepada seluruh rakyat Malaysia.
Lima bantuan utama yang diumumkan menerusi inisiatif bantuan kos sara hidup dilihat sebagai usaha berterusan Kerajaan ke arah pendekatan perlindungan sosial yang lebih inklusif, selari dengan piawaian antarabangsa di bawah UNICEF pada tahun 2019 iaitu life cycle approach to social protection.
Pendekatan ini memberi tumpuan kepada sokongan jangka pendek dan jangka panjang terhadap keperluan rakyat yang kian ketara sepanjang kitaran hidup mereka iaitu sejak lahir hingga usia tua.
Bantuan seperti subsidi petrol; pengurangan bil elektrik; pengekalan kadar tol; program jualan murah dan bantuan tunai, apabila dianalisis secara menyeluruh, jelas menunjukkan ciri-ciri sokongan sosial yang lebih menyeluruh dan inklusif.
Pertama, walaupun bantuan tunai program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 yang disalurkan menerusi MyKad diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dianggap kecil, namun ianya menunjukkan usaha ke arah mewujudkan sistem perlindungan sosial bersifat universal.
Pemberian tunai sekali bayar yang bakal memberi manfaat kepada 22 juta penduduk Malaysia ini merupakan suatu langkah asas dalam membina ekosistem yang memberi bantuan terhadap akses kepada barangan dan jaminan asas yang merangkumi semua rakyat tanpa mengira latar belakang.
Ia menunjukkan kerajaan mula berganjak dari pendekatan kebajikan tradisional kepada pendekatan berfasa dan menyeluruh dalam menyokong rakyat di setiap tahap kehidupan.
Seterusnya, perluasan Jualan Rahmah MADANI yang melibatkan peruntukan sebanyak RM600 juta pula memberi fokus kepada akses kepada makanan dan barangan asas yang juga merupakan komponen penting dalam keterjaminan makanan menerusi perlindungan sosial dari segi kesejahteraan asas (basic needs security).
Program ini menyokong semua peringkat usia, termasuk kanak-kanak, dewasa, dan warga emas dalam isi rumah, sekali gus menangani isu kekurangan pemakanan, kesihatan dan inflasi. Ia berfungsi sebagai bentuk perlindungan dari segi keperluan fizikal dan kesihatan sepanjang hayat, dan bukan sekadar respons kepada krisis jangka pendek.
Baca artikel lain: Pengumuman inisiatif rangkul M40, redakan tekanan sara hidup
Dalam pada itu, bantuan subsidi petrol dan penurunan harga RON95 memberi manfaat besar kepada golongan belia, dewasa bekerja, termasuk ibu bapa yang perlu menghantar anak ke sekolah atau bekerja jauh dari tempat tinggal.
Ini memberi sokongan kepada fasa kehidupan produktif (working-age adults) di mana mobiliti adalah penting dalam menjana pendapatan.
Penjimatan ini memberi kesan langsung kepada kebolehan mereka menyimpan, menampung kos pendidikan anak dan memperkukuh daya tahan ekonomi isi rumah.
Secara tidak langsung, ini membina asas pendapatan mampan dan meningkatkan kestabilan kewangan individu dalam tempoh usia bekerja.
Pengurangan bil elektrik sehingga 14 peratus kepada majoriti pengguna pula memberi kelegaan kepada isi rumah pada semua peringkat termasuk dalam kalangan keluarga muda hingga warga emas.
Ia merupakan bentuk sokongan kepada isi rumah dalam fasa pertengahan kehidupan di mana tanggungan keluarga yang biasanya agak tinggi.
Ini mencerminkan ketersediaan kerajaan dalam memberikan subsidi yang merupakan satu ciri utama dalam kerangka perlindungan sosial yang progresif.
Ia bukan sahaja mengurangkan tekanan kewangan isi rumah tetapi juga meningkatkan kesejahteraan hidup secara umum melalui akses kepada tenaga yang stabil dan selamat.
Secara kesimpulannya, Malaysia sememangnya bergerak progresif dan positif menuju ke arah sistem perlindungan sosial yang lebih sejajar dengan standard antarabangsa yang berlandaskan life cycle-based protection, dan ini adalah asas penting ke arah pembentukan sistem yang mampan dan berdaya tahan.
Prof Madya Dr Nurazilah Zainal adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan. Beliau juga merupakan Felo Penyelidik Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF).
Dr Suhaimi Abd Samad adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

