OLEH: KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI
UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) nampaknya akan mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu termasuk sains dan teknologi di kampusnya di Bangi setelah sekian lama tersasar akibat dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang bermula pada tahun 2003 yang diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Begitulah yang dimaklumkan oleh Naib Canselor baharu UKM, Prof Dr.Sufian Jusoh selepas pengumuman lantikannya baru-baru ini.
Menurut Prof Dr Sufian Jusoh, UKM wajib kembali kepada misi penubuhan asalnya menjadikan bahasa Melayu sebagai tunjang utama memperkasa bahasa Melayu di pentas global.
Itulah berita paling baik tentang bahasa Melayu setakat ini setelah sekian lama juga mengalami gerhana sejak PPSMI (2003-2009) dan dengan pelaksanaan PPSMI versi 2.0 iaitu Dual Language Programme (DLP) pada 2014 oleh Kementerian Pendidikan.
Majoriti rakyat Malaysia pastinya menyambut baik berita tersebut kecuali segelintir golongan anglophile yang masih kemabukan bahasa Inggeris akibat minda yang masih terjajah buat selama-lamanya?
Semasa gerakan penubuhan UKM dahulu, begitu banyak individu dan organisasi yang memberi sumbangan wang ringgit bagi menjayakan penubuhannya khususnya Tabung Penubuhan UKM pada tahun 1969.
Antara nama yang tidak boleh dilupakan seperti Datuk Zainal Abidin Wahid (Profesor Sejarah), Syed Husin Ali, Tengku Shamsul Baharin dan Prof Emeritus Datuk Dr Abu Bakar Hamid. Ini menimbulkan kesedaran banyak pihak untuk turut menyumbang dalam gerakan rakyat seperti itu.
Antaranya termasuklah kesatuan-kesatuan guru, badan sukarela, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan. Antara yang menyentuh perasaan ialah sumbangan RM1.00 yang dikumpul lima sen sehari oleh seorang pelajar sekolah di Terengganu bernama Nordin @ Ahmad Tahir.
Demikian juga komitmen Dr. Ranjit Bhagwan Singh seorang doktor berbangsa Sikh yang menderma RM1,001 sebulan selama 10 bulan hingga genap RM10,010.
Bahkan kemudiannya beliau turut menyumbang RM50,000 untuk diwujudkan Tabung Dr. Ranjit Bhagwan Singh bagi memberi bantuan kepada pelajar UKM yang kurang berkemampuan.
Nordin, pelajar sekolah tersebut telah diraikan semasa perayaan gemilang ulang tahun penubuhan UKM.
Malangnya pada ketika itu hingga kini doktor India yang dermawan tersebut tidak dapat dikesan sehingga kini.
Namun jasanya tetap terakam dalam tinta emas sejarah UKM. Begitu mulia hati dan jiwanya yang tidak mahu ketinggalan untuk bersama-sama memastikan kewujudan sebuah universiti berbahasa kebangsaan ketika majoriti rakyat Malaysia termasuk pemimpin pada ketika itu yang meragui kemampuan bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa ilmu di universiti.
Jika semua warganegara Malaysia khasnya bukan Melayu menghayati dan berjiwa murni seperti doktor India tersebut, alangkah bahagianya dan harmoni negara ini dan juga sistem pendidikannya.
Dasar Pendidikan Kebangsaan 1970-1982 telah menyaksikan perubahan besar dalam sistem pendidikan di Malaysia. Bahasa Melayu menggantikan bahasa Inggeris secara berperingkat bermula dari sekolah rendah hingga menengah dan universiti meliputi sistem peperiksaan ketika itu, LCE, MCE dan HSC diganti dengan SRP, SPM dan STP.
Malangnya setelah lebih lima juta pelajar sekolah berjaya mengikuti dasar pendidikan kebangsaan selama kira-kira 30 tahun di peringkat sekolah (1970-2002) dan 20 tahun di peringkat universiti (1982-2002) dengan ribuan graduan lulusan pelbagai bidang profesional seperti kejuruteraan, perubatan, farmasi dan undang-undang, tiba-tiba dasar PPSMI telah “meragut” kejayaan bahasa Melayu selama ini akibat perkiraan salah pimpinan utama negara.
Walaupun teguran dan pandangan telah diberikan terutama oleh pakar pendidikan, pakar bahasa dan Badan Bukan Kerajaan (BBK/NGO) bahawa PPSMI adalah satu kesilapan besar tetapi dasar tersebut tetap diteruskan.
Walaupun tiada arahan yang jelas kepada universiti untuk beralih kepada PPSMI, tetapi universiti juga turut masuk ke dalam “bandwagon” yang sama.
Kalau dahulunya beransur-ansur bertukar daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu, akibat PPSMI, pada 2003 kembali bertukar daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris.
Sejak tahun 2002, selama dua puluh tiga tahun usaha membangun kepustakaan sains dan teknologi berbahasa Melayu oleh DBP, universiti dan lain-lain dimandulkan. Usaha sebelumnya pula menjadi sia-sia.
Sufian juga berikrar agar UKM terus menjadi benteng ilmu berteraskan jati diri bangsa. Ikrar Naib Canselor baharu UKM membuktikan bahawa sejak tahun 2003, UKM yang mempunyai falsafah dan misi yang suci telah hanyut dan mengalami pengherotan misi yang dibiarkan atau disengajakan.
Naib-naib Canselor sejak 2003 sehingga 2024 seolah-olah tidak sedar bahawa misi, falsafah dan perjuangan asal UKM yang sepatutnya memartabatkan bahasa Melayu dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi terbiar hanyut sendirian.
Begitulah juga universiti dan agensi lain yang berkaitan. Apabila penulis bersembang dengan segolongan profesor bidang sains di UKM, dimaklumkan hanya mereka yang cekal dan insaf sahaja tanpa kompromi terus memberi kuliah dalam bahasa Melayu. Selain mereka semuanya terus dihanyutkan oleh dasar PPSMI.
Memartabat bahasa Melayu bukanlah bermakna bahasa Melayu semata-mata tetapi juga sekaligus segala nilai kemelayuan, adab sopan, budaya dan warisan tamadun Melayu sejak zaman silam yang begitu kaya dan indah di nusantara ini.
Baca artikel lain: Prof Dr Sufian dilantik Naib Canselor UKM baharu
Konsep pemeribumian ilmu khasnya sains dan teknologi yang dipelopori oleh Profesor Emeritus Shaharir Mat Zain, Profesor Emeritus Datuk Dr Wan Ramli Wan Daud, Dr Alinor (semuanya dari UKM) dan kumpulan mereka amat relevan bagi kelangsungan ilmu berpaksikan peribumi negara ini.
Semoga selepas ini tiada lagi pimpinan tertinggi UKM dan universiti lain yang hanyut dibawa arus deras menggulung lemas bahasa negara ini dan jiwanya.
Sebarang pengherotan misi dan perjuangan asal UKM bermakna mengkhianati negara ini dan perjuangan mereka yang terlibat dalam usaha penubuhannya dahulu termasuk murid yang menderma seringgit dan Dr. Ranjit Bhagwan Singh yang menderma lebih RM60,000.
Apakah bandingan sumbangan menyebar luas ilmu di sini dalam bahasa negara sendiri ketimbang menyebar ilmu menggunakan bahasa negara lain seolah-olah bahasa Melayu terlalu miskin dan daif?
Pimpinan utama negara juga haruslah sedar dan turut mengingatkan pimpinan universiti akan tanggungjawab terhadap bahasa kebangsaan negara ini dan tidak menjadi ketam yang sesat lagi mengelirukan lalu berulang tragedi PPSMI dan DLP yang berupaya “membunuh” bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi di negara sendiri.
Hubaya-hubayalah pemimpinku. “Musuh” bahasa Melayu daripada pelbagai golongan masih berkeliaran menunggu mangsanya selagi urusan di negara ini belum diInggeriskan sepenuhnya.
Sebagai penutup penulis ingin benar bertanya kepada pimpinan tertinggi universiti yang lain. Apakah peranan pimpinan universiti lain tentang bahasa wajib berbeza daripada peranan UKM? Adakah usaha memartabat bahasa negara sendiri sebagai bahasa ilmu hanya peranan UKM secara mutlak dan kira-kira 20 buah universiti lain boleh sahaja terus “hanyut” untuk memperkasa dan menjulang bahasa negara lain sebagai bahasa ilmu di negara ini?
Tidakkah ada rasa bersalah pada pimpinannya atau turut berasa bahawa universiti mereka juga patut bersama-sama berperanan memikul tanggungjawab secara kolektif bagi menyebar luas ilmu, membangun dan membina kepustakaan ilmu dalam bahasa negara ini seperti yang telah dan sedang dilakukan oleh semua universiti di negara maju seperti Rusia, Finland, Norway, Jerman, Sepanyol, Korea, Jepun, Australia, New Zealand, Britain dan Amerika Syarikat.
Jika universiti awam pun mahu lari daripada tugas utamanya dalam soal bahasa penghantar pengajian, apatah lagi dengan kolej dan universiti swasta dan berkembar yang umpama cendawan tumbuh di negara ini.
Bermaharajalelalah universiti dan kolej tersebut selama-lamanya.
Sepatutnya universiti swasta dan lainnya itu diberi masa secara berperingkat untuk memartabat bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama ilmu di samping tetap meneruskan program khusus pengajian bahasa-bahasa utama dunia seperti Inggeris, Mandarin, Arab, Jepun, Rusia, Jerman dan Perancis agar rakyat negara ini juga turut menguasai bahasa besar yang lain.
Penulis adalah Pengerusi Biro Pembangunan Insan Rabbani dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu (MPM)
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

