KEMENTERIAN Pengangkutan sedang mengkaji semula kadar bayaran cukai jalan yang akan dikenakan bagi kenderaan elektrik (EV) supaya ia lebih rendah berbanding kenderaan biasa, kata Menterinya, Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata keputusan itu dibuat supaya cukai jalan kenderaan berkenaan menjadi lebih murah berbanding kenderaan Internal Combustion Engine (ICE), bagi menggalakkan lebih ramai pengguna memiliki kenderaan elektrik.
Katanya, ketika ini cukai jalan bagi kenderaan itu adalah percuma sehingga 2025, namun pihaknya mengambil maklum mengenai beberapa maklum balas dalam kalangan pengguna EV yang ingin tahu kadar cukai kenderaan EV selepas tamat tempoh itu.
“Kementerian Pengangkutan, yang juga anggota dalam Pasukan Petugas Khas EV dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, pada mesyuarat beberapa hari lepas, kita ada bentangkan satu kertas kerja bagaimana menyokong industri EV ini.
Baca artikel berkaitan: Anthony Loke umum tiga inisiatif kurangkan beban Institut Memandu
“Antara perkara yang akan dilaksanakan pihak kementerian ialah mengkaji semula struktur pencukaian jalan EV. Mengikut kaedah Akta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), memang ada pengiraan bagi kenderaan EV, dan memang pengiraaan cukai jalan bagi EV lebih mahal berbanding kereta biasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Pelancaran Pusat Khidmat 4S GWM hari ini.
Jelasnya keputusan mengenai kadar cukai jalan kenderaan EV itu akan diputuskan pada tahun ini.
Sementara itu Loke berkata pihaknya juga bercadang memperkenalkan nombor plat khas untuk kenderaan EV bagi tujuan membezakan ia daripada kenderaan biasa.
“Bagi aspek keselamatan, sekiranya berlaku kemalangan, cara pengendalian kereta itu berbeza daripada kenderaan lain. Umpamanya jika berlaku kebakaran, ia tidak boleh sembur air sahaja. Pasukan bomba ada prosedur operasi standard mereka sendiri,” katanya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

