PENYANYI rock Malaysia dan pelakon, Awie meluahkan rasa syukur dapat bertemu kembali dua orang anaknya, Putra Ahmad Rezzki, 15, dan Putri Qasseh Antasha, 13, selepas lapan tahun terpisah di sebuah tempat peranginan.
Perkara itu dikongsikan menerusi foto yang dimuat naik di laman sosial Facebook milik Awie atau nama pemilik sebenarnya, Datuk Ahmad Azhar Othman yang terpancar kegembiraan masing-masing semasa meluangkan masa bersama.
Ujar vokalis kumpulan Wings itu, mereka berjumpa selama dua hari dan tidak mengharapkan apa-apa selain berterima kasih kepada isterinya, Datin Sharifah Ladyana dan bekas isterinya, Rozana Misbun atas pertemuan itu.
Tambahnya, dia turut dapat melepaskan rindu kepada anak-anaknya selain mengharapkan supaya penyatuan itu merupakan titik permulaan yang baik kepada semua orang dan berbahagia sampai syurga.

“Terima kasih wahai Allah kerana mendengar doa-doaku. Sekian lama terpisah akhirnya dapat aku bertemu dengan anak-anakku. Syukur, ya Allah.
“30 Jun 2023 sehingga 1 Julai 2023 menjadikan air mata ku sebagai saksi bahawa rasa rinduku berbalas bersama anak-anakku yang merupakan dunia akhiratku.
“Terima kasih isteriku, terima kasih ibu kepada anak-anakku.
“Semoga berbahagia hingga ke Jannah dan menjadi titik permulaan yang baik untuk semua. Allahuakbar,” luahnya menerusi kapsyen hantaran itu.

Rentetan itu, pelakon filem Sue-On itu menyimpan foto-foto berkenaan di media sosial miliknya untuk dijadikan kenangan.
Pertemuan itu turut disertai isteri, Datin Sharifah Ladyana dan anak mereka serta tiga lagi anak milik Awie iaitu Putri Aleeya Antasha, 23, Putri Aleefa Antasha, 21, dan Putra Ahmad Merrah, 16.
Terdahulu, Awie telah berkongsi tentang keterujaannya akan bertemu anak-anaknya Rezzki dan Qasseh yang kini di bawah penjagaan bekas isterinya, Rozana Misbun yang merupakan adik kepada pelakon, Haliza Misbun semasa malam gala filem terbitannya, Sue-On.
Untuk rekod, Awie dan Rozana pernah mendirikan rumah tangga pada 20 Jun 2005 namun bercerai pada 1 November 2014 dan mereka turut dikurniakan seorang lagi anak iaitu Putra Ahmad Merrah yang kini berada di bawah jagaan pelakon filem Hantu Kak Limah itu.
Dalam pada itu, pelakon drama Sudin Dah Kaya itu memiliki dua anak hasil perkahwinan pertama bersama penyanyi, Arni Nazira iaitu Putri Aleeya Antasha dan Putri Aleefa Antasha.
Pada 7 Oktober 2016, pelakon telefilem Wajah Di Sebalik Tirai itu berkahwin dengan Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin dan dikurniakan seorang anak lelaki pada 2020.

