PENGACARA dan penyampai radio, Mat Dan rasa bertanggungjawab untuk menyebarkan kesedaran dan memulihkan bersama-sama ancaman alam di dunia ini melalui platformnya.
Ujar Mat Dan atau Muhammad Kareef Danial, dia akan mengendalikan travelogue baharu berjudul ‘Misi Mat Dan’ yang berkaitan dengan enam misi yang diadakan di samping membawa penonton meninjau ancaman semula jadi dalam negara ini.
Hos yang berusia 34 tahun itu memfokuskan dalam mencari jalan penyelesaian bagi menjaga dan mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan keindahan flora dan fauna yang mampu untuk menarik ramai pelancong dari luar dan dalam negara.
“Faktor utama sebab berlaku ancaman alam tu adalah berpunca daripada manusia sendiri, saya jumpa penyu mati di kawasan pulau-pulau Terengganu, mungkin ada yang sangkut dalam pukat, dan ada yang termasuk dalam plastik.
“Saya ni dah ada tiga orang anak, saya tak nak mereka membesar melihat semua perkara negatif itu. Saya nak mereka nampak haiwan-haiwan yang memang dikenali di Malaysia seperti harimau, gajah, penyu.
“Saya nak balas budi orang Malaysia dengan bantu apa yang ada dekat sini menggunakan platform yang saya ada,” katanya kepada URTV.
Sementara itu, penyampai radio Molek FM itu turut memasukkan beberapa komuniti yang berada di kawasan terbabit telah hilang sumber pendapatan dan tiada jiwa mahu meneruskan pekerjaan kerana perairan dan pantai serta kehidupan akuatik yang terjejas.
Mat Dan berkongsi tentang satu peristiwa yang membuatkan dirinya tidak berputus asa dalam meneruskan perjuangannya sehingga melibatkan 22 jam perjalanan ke suatu pulau dan terpaksa berpatah balik demi keselamatan.
Tambahnya, dalam situasi di Sungkai, harimau di sana berdendam dengan manusia kerana ada manusia yang tidak bertanggungjawab telah membunuh dan menyeksa bapanya.
“Saya pergi ke pulau itu dalam waktu pagi dan perjalanan adalah selama 22 jam. Tiba-tiba kami disuruh patah balik dan tidak boleh pergi ke sana. Kami dapati ada isu tentang keselamatan dan saya tak berkesempatan untuk tunjuk kecantikan pulau itu.
“Situasi dekat Sungkai pula, ada harimau yang kena jerat dawai dan sebagainya. Dekat situ juga, ada harimau bernama Sungkai berdendam dengan manusia kerana menyeksa bapa kepada harimau tersebut sehingga menyebabkan kematian. Sepatutnya haiwan ada tempat dia, kita ada tempat kita dan kita tak boleh kacau tempat dia,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mat Dan telah memasuki industri seni sejak tahun 2016 dan mulai sibuk dengan kerjayanya tetapi dia nak laksanakan suatu perkara yang dekat dengan hatinya malah dia juga ingin masyarakat tahu apa yang ditinggalkan.
“Sejak 2016, saya masuk ke dalam industri ini dan saya dah mula sibuk. Jadi, saya nak buat sesuatu perkara yang dekat dengan hati saya. Dari dulu saya nak ada sesuatu yang saya tinggalkan untuk masyarakat.
“Saya tak nak mereka nampak saya ni jalan-jalan, makan angin semata-mata dalm setiap video tapi ini adalah satu kebanggaan bagi saya dengan adanya nama saya dalam program saya dan ini juga merupakan salah satu semangat saya,” katanya ketika ditemui sidang media program TV9: Misi Mat Dan di Sri Pentas, Bandar Utama.
Mat Dan merupakan seorang pengembara berwarganegara England yang telah menetap di Malaysia semenjak tahun 2009 malah beliau telah dikenali ramai kerana kemahirannya bertutur dalam bahasa Melayu terutamanya dialek Terengganu.
Sejak tiba di Malaysia, Mat Dan telah jatuh cinta dengan keunikan adat budaya dan alam semula jadi dalam negara ini dan sehingga mendapat status penduduk tetap ketika di Terengganu pada tahun 2018.
Untuk info, program Misi Mat Dan ini merupakan terbitan M1 Pictures yang diketuai oleh William Grimaldi sebagai penerbit. Rancangan berisi enam episode ini juga boleh ditonton menerusi siaran TV9 bermula dari 3 Julai 2023, setiap hari Isnin, pukul 10.00 malam dan strim secara HD melalui laman web www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton.

