KERAJAAN Madani menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) siri 17 Bil 1 2023 memandang serius isu pengeluaran surat sokongan.
Sehubungan itu, Mesyuarat JKKMAR yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memutuskan untuk mengeluarkan Garis Panduan Pengendalian Sokongan oleh Anggota Pentadbiran dalam Urusan Kerajaan.
Jabatan Perdana Menteri menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, langkah itu bagi memastikan surat sokongan tidak disalahguna bagi tujuan kepentingan peribadi.
“Kerajaan memandang serius berhubung isu pengeluaran surat sokongan yang mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa sehingga menjejaskan imej pentadbiran Kerajaan.
“Mesyuarat turut bersetuju secara prinsip dengan cadangan penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] bagi memastikan saluran aduan yang lebih diyakini dan berkesan,” jelas kenyataan tersebut.
Baca juga: Dialog Temu Anwar di UUM, Sabtu ini
Mengulas lanjut, kenyataan tersebut memaklumkan, mesyuarat bersetuju supaya pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran dikuatkuasakan semula setelah format baharu yang lebih komprehensif bagi pelaporan pengisytiharan harta ini ditambah baik.
Katanya, mesyuarat itu turut memberi fokus kepada syor penambahbaikan tata kelola yang lebih holistik untuk mempertingkat kebertanggungjawaban, ketelusan, kecekapan dan keberkesanan sistem pentadbiran Kerajaan.
Jelas kenyataan itu, ekosistem tata kelola baik negara akan diperkukuh melalui Pelan Tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) sebagai panduan sektor awam berhubung pelaksanaan prinsip-prinsip tadbir urus baik.
Selain itu, katanya, mesyuarat turut bersetuju supaya Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentangkan secara berkala.
“Pembentangan ini dilakukan di Mesyuarat Jemaah Menteri untuk tindakan susulan yang segera bermula dengan LKAN 2022 dengan format baharu lebih berstruktur supaya setiap isu dilaporkan dapat diambil tindakan lebih berkesan.
“Peranan jawatankuasa ini juga akan diperkasa dan dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) yang akan dijadikan platform bagi menggalakkan amalan prinsip tata kelola baik.
“Ini supaya diambil kira dalam perancangan dan pembangunan dasar serta pelaksanaan inisiatif dan program oleh semua agensi di sektor awam,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan tersebut memaklumkan, JKKTN juga akan diperkasa untuk meneliti isu-isu kelemahan tata kelola melibatkan Badan Berkanun termasuk Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan Kerajaan.
Katanya, Had bilangan Lembaga Pengarah yang boleh dianggotai oleh seseorang penjawat awam melibatkan Badan Berkanun, subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan Kerajaan juga akan dikaji semula bagi meningkatkan keberkesanan peranan penjawat awam dalam Lembaga Pengarah.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

