VOKALIS Rusty Blade, Yantzen meluahkan rasa rindu ingin beraksi secara agresif di atas pentas seperti zaman mudanya ketika masih bergiat aktif kerap menyanyi di mana-mana persembahan.
Ujar Yantzen atau Yantzen Juniwan, hasrat itu tidak dapat dilakukan lagi kerana dia sedar akan usianya yang semakin meningkat malah turut mengalami ‘penyakit misteri’ sejak beberapa bulan lalu.
“Saya memang sangat rindukan momen itu. Semasa saya muda-muda dulu, saya nampak tiang saja, saya akan panjat atau buat aksi somersault (balik kuang).
“Saya memang suka bergerak sana sini di seluruh pentas sebab saya nak peminat beri tumpuan pada saya dan lupakan muzik,” katanya kepada URTV.
Penyanyi yang berusia 65 tahun itu berkongsi mengenai kesihatannya yang merudum mempengaruhi cara menghiburkan peminat dengan hanya menyanyi menggunakan mikrofon berdiri sahaja.
Bagaimanapun, penyanyi yang berasal dari Singapura itu masih mengambil pendekatan untuk menjaga tenaga semasa persembahan dari segi fokus kepada pernafasan kerana dia akui menyanyi berkaitan dengan diafragma.
“Saya ni dah 65 tahun, tenaga pun dah tak sama seperti dulu. Dari segi nyanyian, saya kena turunkan beberapa key tapi saya jaga tenaga nyanyian saya dengan fokus kepada latihan pernafasan.
“Kalau saya mampu kekalkan stamina, insya-Allah masa persembahan nanti tenaga saya kuat dan boleh kawal vokal dengan bagus,” ujarnya.
Yantzen berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui di majlis sidang media pengumuman Konsert Rock Dulu-Dulu di sebuah pawagam mini yang terletak Hulu Kelang, baru-baru ini.
Terdahulu, peserta Gegar Vaganza musim ketujuh itu mendedahkan penyakit misterinya itu melibatkan kaki sebelah kirinya dan menyebabkan dirinya sukar untuk tidur.
Penyakit tersebut tidak dapat diubati dengan cara saintifik oleh doktor pakar tetapi kini dia menggunakan cara tradisional bagi mengubati penyakit tersebut.
Konsert Rock Dulu-Dulu menggegarkan Kunak selama enam hari
Ditanya juga tentang persediaan untuk konsert yang bakal diadakan di Kunak, Sabah, penyanyi lagu Awas itu bakal membuat persembahan selama satu jam dengan membawa lagu-lagu yang pernah menjadi kegemaran ramai suatu ketika dulu.
“Nasib saya baik apabila saya ditawarkan untuk menyanyi di konsert ini dan saya akan bawa lagu Meniti Suratan, Tiada Lagi, Insan dan ada beberapa lagu lain lagi,” jelasnya.
Untuk info, konsert ini bakal diadakan selama enam hari bermula 26 Ogos sehingga 30 Ogos bertempat di Padang Kunak, Sabah.
Barisan penyanyi legenda yang hebat seperti Zamani Slam, Lan Solo, Hatta Junction, Acheed Def Gab C, dan Alim Kris turut membuat persembahan tidak lama lagi.

