PERTAMA kali mengadakan showcase, bakat suara yang luar biasa oleh penyanyi, Amir Masdi, telah memukau para penonton yang memeriahkan dengan memberi sokongan penuh buat dirinya di sebuah restoran hotel yang terletak di ibu kota, semalam.
Tiket yang telah habis dijual kepada para penonton menunjukkan penyanyi lagu Sengaja itu mempunyai penyokong yang kuat dan ramai malah mereka kelihatan setia menunggu Amir atau Amir Syazwan Masdi dari awal sehingga akhir showcase.
Dalam pada itu, terdapat ramai juga rakan selebriti yang turut sertai showcase untuk menyokong penyanyi berusia 27 tahun itu, antaranya ialah, Syamel, Ikhwan Fatanna, Sissy Iman, Farisha Iris, Aman RA dan ramai lagi.
16 buah lagu didendangkan menerusi album barunya berjudul AMIR MASDI dan turut menyanyikan juga lagu-lagu ‘cover’ antaranya ialah Pemilik Cinta, Berhenti Mencinta, Sengaja, Kau Sakiti, Aura Kejora, Esok, Asmara, Puas, Menyesal, Memori Bersama, I Won’t Go, Empayar, Sepi Sekuntum Mawar Merah dan sedikit bahagian chorus Di Penjara Janji serta banyak lagi.

Kali pertama bermain piano secara langsung, pelakon drama Ahli Bapak Bapak Club itu akui berasa gementar tetapi dapat memberikan persembahan terbaik selepas mendapat sokongan padu daripada penyanyi, Sissy Iman yang terkenal sebagai pemuzik piano juga.
Restoran yang berada di tingkat paling tertinggi di hotel tersebut atau disebut sebagai ‘Rooftop Restaurant’ menggambarkan suasana gamat apabila para penonton menyambut bait-bait lirik yang dinyanyikan oleh penyanyi kelahiran Cheras, Selangor itu.

Jeritan dan pekikan daripada para peminat membuatkan bekas peserta Akademi Fantasia 2016 itu berasa lebih bersemangat untuk meneruskan nyanyiannya kerana kelihatannya mereka benar-benar menghargai bakat vokal tersendiri milik Amir.
Selain itu, pelakon filem Bas Terakhir Malam Raya itu menerima kejutan yang tidak disangka-sangka daripada para peminat iaitu sejambak bunga ros merah yang agak besar malah Amir turut membuat ucapan meluahkan rasa terharu dan berterima kasih atas pemberian itu.
Bagaimanapun, peserta The Masked Singer Malaysia musim kedua itu tidak henti-henti mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli keluarganya yang datang menyokong showcase itu dan akui tanpa mereka, dia tidak akan sampai ke tahap itu.


