Program ‘Ini Warisan Kita’ anjuran Kementerian Perpaduan Negara merupakan platform memperkukuh wadah perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi khazanah warisan negara.
Majlis Pelancaran ‘Ini Warisan Kita’ disempurnakan oleh Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara yang berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya.
Aaron turut menyatakan program yang bertemakan “Melestarikan Perpaduan” ini sangat bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam membangun Malaysia MADANI yang menerapkan elemen hormat menghormati serta menjadikan warisan sebagai salah platform pengukuhan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurut Aaron, inisiatif Ini Warisan Kita adalah salah satu pengisian utama dalam program flagship Kementerian iaitu Kembara Perpaduan Malaysia MADANI. Selain dapat meningkatkan pengalaman “feel good factor”, program seumpama ini berupaya menyuntik semangat cinta kepada tanah air melalui penghayatan terhadap kepelbagaian khazanah yang kita warisi sejak turun temurun lagi.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 7 hingga 9 Julai 2023 ini menyaksikan masyarakat berpeluang untuk mempelajari dan menghayati sendiri kepelbagai warisan yang dibawakan khas kepada setiap pengunjung. Antara pengisian utama program ini adalah pameran rumah etnik, persembahan kebudayaan, Panel “Moment of Unity”, pertandingan mencanting batik, dan pameran Reruai Agensi
Bagi menggalakkan penglibatan lebih banyak pihak khususnya badan bukan kerajaan dan pertubuhan berdaftar lain untuk menyertai program ini, Kementerian turut menawarkan insentif berbentuk geran sehingga RM50,000 tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan. Fokus utama pelaksanaan program di bawah insentif ini adalah meliputi bidang kepelbagaian etnik, bahasa, permainan tradisional, adat resam, makanan serta kesenian dan alat muzik tradisional.
Selain itu, Kementerian turut memperkenalkan beberapa inisiatif lain di bawah Ini Warisan Kita antaranya Hub-warisan yang menyediakan informasi komprehensif berbentuk penulisan, penerbitan, dan video berkaitan khazanah warisan negara untuk dijadikan “one-stop centre” dan rujukan orang awam, Program Nostalgia Anak Kampung yang mengembalikan semula sukan tradisional rakyat untuk dijadikan aktiviti masyarakat kini khususnya dalam kalangan anak muda, Program Magis Belantara yang menelusuri kehidupan dan budaya masyarakat Orang Asli untuk dipelajari oleh masyarakat tempatan dan Program Bahasa Kolokial bagi melestarikan keberdayaan Bahasa komuniti

