JENAZAH bekas Pengerusi AirAsia Berhad, Datuk Pahamin Abdul Rajab akan disemadikan di London, United Kingdom (UK).
Perkara itu diumumkan anaknya, Armin Baniaz Pahamin dalam rakaman video yang dikongsi di akaun media sosial abang iparnya yang juga pelakon, Azhar Sulaiman.
Menurut Armin Baniaz, pihak keluarga telah membuat keputusan mengebumikan jenazah Allahyarham Pahamin di London.
Armin Baniaz berkata, mereka sekeluarga akan berlepas ke London untuk menguruskan pengebumian bekas Ketua Pengarah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu.
Pada masa sama, dia turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah mengutuskan ucapan takziah serta mendoakan kesejahteraan Allahyarham bapanya.
“Kalau ada ayah saya tersalah, tersilap bahasa dan terkasar dengan sesiapa, saya minta maaf bagi pihak dia. Saya harap semua boleh mengampunkan semua salah silap ayah saya.
“Sekiranya ayah ada berhutang dengan sesiapa, bolehlah berhubung dengan salah seorang daripada ahli keluarga kami,” katanya dalam rakaman video tersebut.
Allahyarham Pahamin, 77, dilaporkan meninggal dunia dalam pesawat ke London ketika mahu menghadiri majlis graduasi cucunya.
Baca artikel berkaitan: Pahamin Rajab meninggal dunia akibat serangan jantung
Armin Baniaz memaklumkan, Pahamin telah pengsan ketika berada dalam bilik air pesawat.
Katanya, krew penerbangan dan doktor yang berada dalam pesawat telah membantu untuk menyelamatkan Pahamin selama satu jam.
“Mereka cuba lebih sejam dan juruterbang juga telah mendapat keizinan untuk mendarat lebih awal di Lapangan Terbang Heathrow, London tetapi sudah sampai masanya (meninggal dunia),” katanya.
Armin Baniaz turut memberitahu, Allahyarham Pahamin kembali dari Tanah Suci selepas menunaikan ibadah haji sehari sebelum berlepas ke London.
“Ayah balik daripada haji pada hari Jumaat. Kami sekeluarga sempat makan malam bersama dia.
“Pada pagi keesokan harinya, hari Sabtu pukul 6 pagi dia bertolak ke London,” katanya.
Allahyarham Pahamin yang juga Pengasas Bersama AirAsia pernah berkhidmat dalam kementerian dan agensi kerajaan di Malaysia dalam tempoh lebih 30 tahun.
Beliau juga pernah menyandang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna selama tiga tahun iaitu antara 1998 hingga 2001.
Sebelum itu, Allahyarham merupakan Ketua Pengarah JPJ bermula 1974 hingga 1998.
Allahyarham Pahamin juga memegang jawatan penting dalam beberapa syarikat termasuk LNG Resources Bhd, Forlife Research Sdn Bhd dan Mediscreen Sdn Bhd.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

