Amin Aznizan terjemah cinta Sarawak menerusi Kedey Kamek. Laksa Sarawak dan Mee Jawa antara resipi rahsia keluarga

Dari Penulis

Masak dari hati. Itulah kata-kata pertama yang keluar dari mulut Amin Aznizan saat menterjemahkan rasa cintanya terhadap makanan Sarawak menerusi Kedey Kamek.

Jelas Amin, inilah usaha kecil yang dapat dilakukan bagi memperkenalkan budaya dan makanan Sarawak ke mata dunia. Malah bukan sekadar isi perut, namun menjadi satu kebanggaan kepadanya dapat memberikan ‘kasih sayang’ rakyat bumi Kenyalang kepada mereka yang menikmati hidangan di Kedey Kamek.

“Budaya orang Malaysia memang sinonim dengan makanan. Dan inilah cara terbaik untuk saya perkenalkan makanan Sarawak, apa tradisi makanan di sana dan cara kami melayan tetamu. Di Sarawak, kami sentiasa berikan khidmat terbaik kepada tetamu. Kami berikan lebih daripada apa yang kami ada.

“Saya selalu berpesan kepada kru bahawa orang yang masuk ke kedai bukan pelanggan, mereka umpama keluarga dan kawan-kawan. Jadi bagaimana kita layan family, begitulah layanan yang sepatutnya di Kedey Kamek,” kata Amin.

Menyajikan hidangan warisan keluarga, kata pengasas Kedey Kamek ini, terdapat lima resipi rahsia turun temurun yang diperkenalkan antaranya laksa Sarawak, mee kolok, mee jawa, sambal penyet dan sambal linut.

“Ramai di kalangan keluarga merupakan pakar memasak dan apabila saya berhajat untuk buka Kedey Kamek, saya approach seorang demi seorang makcik dan nenek untuk dapatkan resipi rahsia laksa Sarawak, mee kolok dan pelbagai jenis sambal yang menjadi hidangan kami sejak dulu. Daripada kecil, inilah hidangan kami sekeluarga. Apa yang saya makan di rumah, inilah menu yang dibawa di Kedey Kamek,” tambahnya lagi.

Bukan laksa Sarawak autentik, kata lelaki berusia 34 tahun ini, sukar untuk mengesahkan apa sebenarnya bahan asli menu tersebut kerana setiap keluarga punya resipi tersendiri.

“Tiada satu pengesahan pun yang mana sebenarnya hidangan autentik Laksa Sarawak. Masing-masing punya resipi tersendiri, dipelbagaikan dan disesuaikan dengan selera keluarga. Jika ke Sarawak, 10 kali makan laksa, maka 10 kali itulah rasanya berbeza-beza. Dan di Kedey Kamek, laksa Sarawak di dalam menu adalah hidangan tradisi keluarga saya sejak dulu lagi.

“Memang ada juga yang keliru antara laksa Semenanjung dengan Laksa Sarawak kerana kami tak gunakan ikan sebagai bahan utama. Laksa Sarawak agak berempah dan kami hidangkan dengan mihun. Dan di Kedey Kamek, laksa Sarawak turut dihidangkan dengan udang galah, udang harimau, siput buluh, kerang dan udang,” ulasnya.

Tak Sarawaklah jika tiada linut. Apa yang boleh dikatakan, linut antara hidangan istimewa yang wajib cuba di sini. Sambal belacannya terbaik dan ada kerangupan dalam setiap gigitan. Terdapat dua pilihan sama ada Linut Sambal (must try) dan Linut Ikan Terubuk.

“Linut menggunakan tepung sagu yang dimasuk menggunakan air panas. Orang Sabah panggil ambuyat dan orang Sarawak panggil linut. Dan cara makan pun lain. Jika dulu, linut merupakan makanan ruji orang Melanau. Cara sebenar makan linut adalah makan dengan lauk seperti sambal belacan, ikan terubuk masin atau dengan sayur keladi atau rebung rebus. Ikan terubuk Sarawak lebih berlemak walaupun kecil. Dan tip untuk makan ikan terubuk, kena goreng garing. Jadi tulangnya boleh dimakan dan rangup.

“Keluarga saya suka makan linut waktu malam kerana sedap di makan panas-panas waktu cuaca sejuk. Linut sesuai dimakan sepanjang tahun, bukan untuk hari-hari tertentu sahaja,” katanya kepada Wanita.

Berkongsi cerita pembukaan cawangan pertama di Kuching pada 2016, kata Amin walaupun hanya bermodalkan RM10,000, namun dia berjaya menggunakan segala tenaga dan sumber yang ada untuk menyempurnakan pembukaan Kedey Kamek.

“Waktu itu, saya memilih lokasi kedai yang tidak strategik kerana harga sewanya agak murah. Proses renovasi juga terhad, bersesuaian dengan bajet. Jadi kami buat sendiri kerusi dan meja makan daripada kepingan kayu yang ada.

“Tapi alhamdulillah, hari pertama kedai dibuka, sambutannya sangat menggalakkan. Kami sibuk dari pagi hingga tutup kedai. Waktu itu, sayalah yang sibuk di dapur, jaga cashier dan ambil pesanan. Namun kedai di Kuching telah ditutup April 2023 kerana mahu berikan fokus Kedey Kamek di Kuala Lumpur,” tambahnya.

Memilih figura tokoh Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem untuk diabadikan di Kedey Kamek, ulas Amin, perjuangan tokoh yang dikenali sebagai Tok Nan itu cukup dekat dengan jiwanya.

“Saya melihat Tok Nan sebagai ikon Sarawak kerana perjuangannya demi negeri Sarawak. Inilah juga sebab utama kenapa saya buka Kedey Kamek, demi Sarawak. Walaupun selepas dia meninggal dunia, kata-kata keramat yang ditinggalkan ‘Jagalah Sarawak’ memberi kesan yang mendalam kepada saya,” ulas Amin.

Kedey Kamek mempunyai tiga cawangan di Lembah Klang antaranya Taman Tun Dr Ismail, Sunway Putra Mall dan Lalaport.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

KPJ Healthcare Alih Fokus TK2026 Kepada Penerapan Kesihatan Baharu Termaju

PENYEDIA perkhidmatan kesihatan swasta, KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare), mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan bagi Tahun Kewangan 2025 (TK2025)...

More Articles Like This