Masih ingat tak dengan sengkuang calit, di atasnya disapu sos merah dan ditabur kacang tanah tumbuk dan gula. Kalau dimakan waktu cuaca panas memang sedap. Sengkuang calit ini memang popular sejak tahun 1980 an lagi. Dulunya banyak dijual di kantin-kantin sekolah, kedai runcit dan penjual menggunakan basikal di hadapan sekolah.
Kalau dahulu ia dijual dengan harga 20 sen sekeping, tapi hari ini dijual pada harga RM 3.00 sekeping. Murah ke mahal tu? Apa pun, peredaran zaman dengan segala barang naik harga antara faktor, sengkuang calit punyai nilai tersendiri. Sesuailah dengan taraf ekonomi pada hari ini.
Teringat dahulu, masa kanak-kanak kalau makan sengkuang calit ada kalanya sos merahnya menitik dan terkena baju sekolah. Itulah kenangan dan penangan sengkuang calit. Hari ini, kita jarang nampak orang menjual sengkuang calit, jika ada pun tidak ramai yang menjualnya. Sebenarnya sengkuang calit ini merupakan kudap-kudapan yang sihat.
Mungkin tidak ramai generasi hari ini yang pandai makan sengkuang calit. Kebanyakkan pembeli setianya mesti orang yang berusia 35 tahun ke atas. Ini kerana mereka dibesarkan dengan makanan ringan jenis itu sewaktu zaman kanak-kanak. Kalau dahulu sos sengkuang calit ini mesti berwarna merah. Warna merah itu, sebenarnya taucu ditapaikan dengan beras yis merah. Zaman sekarang susah nak cari taucu merah nie. Kita sesuaikan rasa dan warna sos mengikut cita rasa kita aje.
Buat sendiri sosnya bukan sekadar menjimatkan, malah boleh makan puas-puas berkeping-keping sengkuang calit. Di luar sana sengkuang calit dipotong lebar tetapi nipis. Tetapi jika di rumah, kita ikutlah suka mana nak potong sengkuang tu.. nipis atau tebal terserah! Ini resipinya, SAJI kongsikan.
Sos Sengkuang Calit
Bahan
6 sudu besar taucu masin
2 ketul gula Melaka – cairkan
2 sudu besar cili kisar
3 sudu besar pes asam jawa
1 sudu besar tepung jagung
Sedikit kicap pekat
Sedikit minyak bijan
500 ml air
Garam
Cara Penyediaan
- Satukan taucu, gula Melaka, cili kisar, asam jawa, kicap pekat dan minyak bijan.
Tuangkan sedikit air dan kisar ke semuanya sehingga sebati. - Tuangkan bahan kisar ke dalam periuk, masukkan lebihan air.
- Masak sos menggunakan api sederhana besar. Kacau perlahan-lahan sehingga mendidih.
- Masukkan garam dan sebatikan rasa. Bancuhkan tepung jagung dengan sedikit air. Tuangkan ke dalam sos yang sedang mendidih.
- Kecilkan api dan kacau rata sehingga sos menjadi pekat. Tutupkan api dan sejukkan sos.

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

