Monyet kecil bermata besar dengan perangai aneh, akan cederakan diri sendiri apabila stres

Dari Penulis

Monyet kecil bermata besar ini adalah daripada spesies Tarsier Pygmy. Monyet ini pernah dikatakan telah pupus sejak lebih lapan dekad yang lalu. Kali terakhir ia dilihat ialah pada tahun 1921.

Sejak itu, kebanyakan saintis percaya bahawa Tarsier Pygmy sudah tidak wujud lagi di dunia ini. Pelbagai misi dilakukan untuk mencari spesies monyet ini tetapi menemui kegagalan.

Namun, sekitar tahun 2008, sekumpulan saintis dari Texas A&M Universiti yang diketuai oleh Profesor Sharon Gursky-Doyen telah berjaya menemui semula spesies ini di kepulauan Sulawesi, Indonesia.

Tarsier Pygmy, monyet yang pernah pupus satu ketika dahulu.

Nama Tarsier diberi kepada spesies monyet ini berdasarkan kepada ciri fizikal tulang ‘tarsus’ – pergelangan kaki –  yang memanjang. Disebabkan ciri tersebut, haiwan ini mampu melompat sejauh tiga meter dari satu pohon ke pohon yang lain.

Monyet ini sangat kecil, iaitu kira-kira sebesar tapak tangan manusia. Ukurannya sekitar 10 sentimeter dengan berat sekitar 57 gram. Ekornya panjang, kira-kira 20 sentimeter dan tidak berbulu kecuali pada bahagian hujungnya sahaja. Setiap tangan dan kakinya pula terdapat jari yang panjang. Jari-jemari haiwan ini memiliki kuku, kecuali jari ‘telunjuk’ dan jari ‘hantu’ yang mempunyai cakar untuk mempertahankan diri.

Saiz mata tarsier pygmy lebih besar daripada saiz otaknya. Ukuran matanya yang besar dan bulat membolehkan ia melihat dengan tajam pada waktu malam. Keupayaan kepalanya berputar sama seperti burung hantu, yang mampu menoleh sehingga 180 darjah ke kiri dan ke kanan. Telinganya pula boleh digerak-digerakkan untuk memastikan kedudukan mangsanya secara tepat.

Haiwan nokturnal ini adalah satu-satunya spesies monyet karnivor. Ia tidak gemar makan buah tapi lebih berselera kepada serangga seperti semut dan cengkerik. Selain itu, haiwan ini juga menjadikan reptilia kecil seperti ular, burung dan kelawar sebagai hidangannya.

Tarsier pygmy menghabiskan sebahagian besar hidupnya di atas pokok. Bahkan, ia tidur dan melahirkan anak dengan bergayut pada dahan-dahan pokok. Jika berada di atas tanah, haiwan ini tidak boleh berjalan, sebaliknya melompat-lompat untuk bergerak. Habitat utamanya ialah di sekitar hutan Sulawesi Utara hingga Sulawesi Selatan, dan di pulau-pulau sekitar Sulawesi seperti Suwu, Selayar, Siau, Sangihe dan Peleng.

Tahukah anda, monyet ini juga boleh mengalami masalah stres dalam kehidupan mereka? Bagi spesies Tarsier Pygmy, ‘mereka’ mempunyai cara yang pelik untuk mengendalikan stres iaitu dengan mencederakan diri sendiri.

Monyet kecil bermata besar ini cenderung untuk melukai diri sendiri secara sekiranya mengalami stres yang melampau. Dalam erti kata lain, haiwan ini melakukannya secara sedar. Tabiat tersebut dilakukan secara berterusan selagi stres yang dialami tidak pulih sepenuhnya.

Haiwan yang mirip watak Spacious dalam filem Lord of The Ring ini menyakiti diri sendiri untuk mengurangkan tekanan akibat stres. Konsep tersebut dilihat hampir sama dengan cara manusia mengendalikan stres. Sebagai contoh, seseorang yang mengalami tekanan akan sedaya-upaya melakukan sesuatu dengan harapan untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi.

Spesies monyet karnivor ini mempunyai beberapa cara untuk mencederakan diri mereka. Selalunya, ia akan mencakar diri sendiri ataupun menggigit bahagian tubuhnya sehingga luka dan berdarah. Semakin teruk stres yang dihadapi, maka semakin banyaklah kecederaan yang akan dilakukan. Tabiat tersebut akan terus dilakukan sehinggalah ia mati – sama ada mati akibat kecederaan ataupun jangkitan kuman pada luka. Bagaimanapun, haiwan ini tidak mengganas atau mencederakan makhluk lain.

Stres yang dialami haiwan ini boleh berlaku disebabkan beberapa faktor. Antara punca utama ialah masalah kebosanan kerana haiwan ini tidak boleh hidup secara sendirian. Selain itu, perkara lain yang memungkinkan ia terjadi ialah habitat yang tidak sesuai, kekurangan sumber makanan, faktor ketakutan dan lain-lain lagi.

____________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This