SEORANG anggota tentera disahkan maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 42.1 Lebuhraya Elite, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 6 petang.
Beliau berkata, kemalangan berlaku selepas sebuah Nissan Almera yang dinaiki empat tukang gunting dari arah Bandar Seri Putra ke Petaling Jaya hilang kawalan sebelum melanggar trak tentera.
“Almera yang berada di lorong kanan melanggar trak di lorong tengah selepas tayar kereta itu pecah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, akibat perlanggaran itu, trak yang dinaiki empat anggota tentera telah masuk ke laluan bertentangan lalu terbabas.
Katanya, kesemua tukang gunting tidak mengalami sebarang kecederaan sementara empat anggota tentera dibawa ke hospital bagi menerima rawatan.
“Bagaimanapun pada pukul 8.50 malam, anggota tentera berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan ketika menerima rawatan,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

