USAHAWAN diingatkan supaya membina daya tahan untuk mendepani cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global hari ini.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemimpin harus kuat untuk memastikan organisasi mereka kalis cabaran.
Beliau berkata, acuan kepemimpinan dalam sesebuah organisasi sama ada syarikat kecil mahu pun gergasi adalah penting dalam menentukan hala tuju syarikat.
“Kebanyakan syarikat yang berjaya mempunyai pemimpin bersifat kritis dan kental dalam mendepani cabaran perniagaan kini yang semakin dinamik.
“Kita semua tidak dilahirkan untuk menjadi pemimpin yang hebat tetapi saya yakin pengalaman pahit manis dalam membangunkan perniagaan itu menjadi titik tolak kepada apa yang anda semua telah capai hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah 100 Top CEO 2022, malam tadi.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri mengakui landskap perniagaan selepas pasca pandemik COVID-19 sudah mula berubah.
Katanya, pandemik COVID-19 telah menyaksikan perubahan perniagaan secara konvensional kepada perniagaan secara dalam talian.
Malah, beliau yakin bahawa tiada produk atau perkhidmatan yang tidak boleh dibeli daripada internet ketika ini.
Baca artikel berkaitan: Ismail Sabri seru Keluarga Malaysia bantu adik Sufi Syafrina
“Arus teknologi dunia semakin berkembang setiap hari dengan China merupakan pelopor kepada inovasi sains dan teknologi global serta industri perniagaan di sana sudah semakin ke hadapan.
“Sebagai contoh, ketika saya mengadakan lawatan ke Shenzhen, China, Jun lalu, saya dimaklumkan industri e-hailing di sana sudah menggunakan dron untuk menghantar makanan kepada pembeli.
“Ini merupakan contoh kemajuan teknologi dalam perniagaan yang akan merevolusikan sistem jual beli pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, pelbagai pelan dan inisiatif telah dilancarkan untuk membantu industri perusahaan tempatan terus diperkasa sewaktu beliau masih menerajui tampuk pentadbiran kerajaan.
Jelasnya, antara inisiatif itu termasuk pelancaran Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMy2030), April tahun lalu yang menyediakan hala tuju nasional yang baharu kepada pembangunan keusahawanan sosial di Malaysia.
“Keusahawanan sosial berperanan meningkatkan tahap kehidupan pelbagai lapisan masyarakat terutama mereka yang terpinggir dan sering tercicir daripada arus pembangunan dan program bantuan kerajaan.
“Ia juga menyediakan penyelesaian sistematik dan inovatif kepada cabaran sosial dan alam sekitar yang mendesak.
“Masa untuk kembali menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

