SELEPAS dikritik agak tegas mengambil tindakan terhadap pemain yang mengkritik mutu pengadilan tetapi hanya senyap apabila ada penonton yang dipukul teruk dalam stadium, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mempertahankan tuduhan tersebut.
Persatuan yang mewakili industri bola sepak tempatan itu menafikan pihaknya mengambil sikap untuk berdiam diri membabitkan insiden penyokong KL City FC yang dipukul pada final Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), minggu lalu kerana ia telah menjadi kes polis.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan memandangkan kes terbabit sudah menjadi kes polis, pihaknya tidak lagi boleh ‘masuk campur’ dengan isu terbabit.
“FAM bukan mengambil sikap untuk berdiam diri berhubung hal ini atau pun lambat untuk membuat sebarang tindakan. Laporan polis sudahpun dibuat oleh mangsa pada keesokan harinya selepas insiden berkenaan.
“Jadi sudah tentu di pihak FAM, kita tidak boleh membuat sebarang tindakan yang boleh mengganggu siasatan polis kerana ia sudah menjadi kes polis.
“Walau bagaimanapun, FAM sentiasa bersedia dan terbuka untuk memberi kerjasama kepada pihak polis jika diminta berbuat demikian bagi membantu siasatan kes ini,” kata Yusoff menerusi satu kenyataan, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Yusoff turut menegaskan badan induk itu menolak sekerasnya keganasan bola sepak dan memandang serius dengan insiden yang berlaku pada final Piala FA 2023 itu.
Secara logiknya, sememangnya FAM tidak boleh campur tangan dalam siasatan kes jenayah insiden memukul penonton tersebut tetapi sekurang-kurangnya badan tersebut seharusnya mengutuk keras perbuatan tersebut dan mengenakan denda sewajarnya kepada pihak stadium yang gagal menjamin keselamatan penonton.
Sehingga hari ini tiada sebarang kenyataan dibuat terhadap pihak stadium atau Persatuan Bola Sepak Johor atau Kelab Johor Darul Takzim (JDT) yang gagal menjadi hos yang baik dalam acara final yang berprestij itu.
FAM juga dikritik sebelum ini kerana mereka tidak mengambil tindakan tegas terhadap pihak SSI atau JDT yang gagal mengawal penonton membakar suar dalam stadium walaupun selepas dikenakan denda.
Maka sewajarnya, FAM perlu lebih tegas terhadap pihak SSI dan JDT kali ini dan bersetuju dengan cadangan netizen agar beberapa perlawanan di stadium itu selepas ini tidak dibenarkan dihadiri penonton disebabkan tidakcekapapan pihak keselatamatan stadium mengendalikan penonton.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

