Sultan Selangor perkenan Sukma 2026 diteruskan secara berhemah

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan supaya penganjuran temasya Sukan Malaysia XXII (Sukma) Selangor 2026 diteruskan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan memaklumkan, Sultan Sharafuddin telah memberi perkenan melangsungkan Sukma Selangor mulai 15 hingga 24 Ogos depan dengan langkah-langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemah.

Menurut KBS, perkenan itu diberikan setelah baginda menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khamis lalu untuk membincangkan perkara itu.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari merakamkan penghargaan dan menjunjung kasih atas perkenan Sultan Selangor itu.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang meletakkan kepentingan atlet-atlet muda negara sebagai keutamaan ketika memutuskan agar Sukma 2026 diteruskan.

Beliau berkata, Sukma 2026 merupakan antara medan pemilihan dan persiapan atlet-atlet muda bagi membawa cabaran negara pada temasya Sukan Sea, tahun depan.

Mohammed Taufiq juga memaklumkan telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menjanjikan kerjasama erat daripada Kerajaan Negeri Selangor.

“Ia bagi memastikan penganjuran Sukma Selangor 2026 dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Saya juga telah menerima perkenan untuk menghadap Sultan Selangor yang dijadualkan pada Rabu, 29 April ini bersama-sama Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor untuk memaklumkan perkembangan perancangan terkini berhubung penganjuran temasya itu,” katanya dalam kenyataan sama.

Mesyuarat khas bentang status terkini persiapan Sukma 2026

Mengulas lanjut, Mohammed Taufiq memaklumkan, mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dijadualkan Khamis ini akan dimanfaatkan Sekretariat Sukma Selangor 2026.

Beliau memberitahu, ia bagi membentangkan status terkini persiapan terutama langkah-langkah penjimatan yang akan dilaksanakan selaras perkenan Sultan Selangor.

“Sebarang maklumat tambahan berkenaan Sukma Selangor akan dimaklumkan selepas mesyuarat itu diadakan,” jelas beliau.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin berkenan mencadangkan penganjuran Sukma Selangor 2026 ditangguhkan sehingga konflik di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

Sultan Sharafuddin bertitah, ini berikutan penganjuran temasya sukan oleh negeri Selangor itu memerlukan peruntukan yang sangat tinggi.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, 20 April lalu.

Sukma XXII dijangka mempertandingkan 474 acara daripada 37 jenis sukan dari 15 Ogos sehingga 24 Ogos tahun hadapan.

Berdasarkan pecahan mengikut jantina pula sejumlah 239 acara sukan membabitkan atlet lelaki, 217 acara wanita dan 18 acara campuran.

Sebanyak 53 venue di sembilan daerah di Selangor akan digunakan sebagai gelanggang pertandingan membabitkan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta Velodrom Nasional di Negeri Sembilan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Remaja 17 tahun maut Honda Wave terlibat kemalangan dengan lori

SEORANG remaja berusia 17 tahun maut selepas motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori...

More Articles Like This