MAHLIGAI perkahwinan yang dibina pengarah terkenal, Aziz M.Osman dan Puteri Lily selama 13 tahun akhirnya terlerai dengan penceraian.
Pendedahan terbuka itu dibuat oleh Puteri Lily menerusi entri Instagram Story miliknya.
Katanya, dia perlu berkongsi hal sebenar agar tidak timbul fitnah pada masa hadapan.
“Sejak kebelakangan ini, ramai yang mesej tanya status hubungan saya dan Aziz.
“Demi mengelakkan fitnah di masa hadapan, saya dengan rasa rendah diri ingin menyampaikan berita secara rasminya saya dan Aziz telah pun berpisah.
“Secara rasminya saya dan Aziz telah pun berpisah dengan cara baik pada awal bulan lepas (bukan sebab orang ketiga).
“Telah ditakdirkan jodoh kami sampai di sini tapi kami masih lagi mempunyai hubungan yang baik demi anak-anak,” katanya.
Menurut Lily, hubungan mereka masih tetap baik demi anak-anak iaitu Puteri Nur Azzahra, 11 dan Putera Muhamad Aryan, 5.
“Alhamdulillah, Ara seorang anak yang sangat matang. Dapat terima keputusan ni dengan tenang.
“Doakan anak-anak saya kuat emosi dan mental mereka.. Doakan urusan kami dipermudahkan. Saya akan cuba yang terbaik,” ujarnya.
Untuk rekod, Puteri Lily dan Aziz mendirikan rumah tangga pada 6 Jun 2010 dan dikurniakan dua orang anak.
Perkahwinan tersebut merupakan kali ketiga buat Aziz yang sebelum itu pernah bergelar suami kepada pelakon Nor Aliah Lee dan memiliki enam orang cahaya mata.

