PEMBINAAN Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman baharu yang melibatkan 76 peratus kawasan tambakan laut tidak akan diteruskan.
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, perkara itu telah diputuskan melalui mesyuarat jemaah menteri.
Jelas Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, ia adalah selari dengan misi kementerian yang mengutamakan pemeliharaan, pemuliharaan dan pengunaan sumber asli serta alam sekitar secara optimum.
“Keputusan ini juga secara tidak langsung mencerminkan usaha kerajaan dalam mengimbangi kepesatan pembangunan dengan kelestarian alam sekitar demi mencapai kemampanan dan menjamin kesejahteraan negara.
“NRECC telah mengambil maklum kebimbangan yang disuarakan kerana penebusan kawasan perlindungan marin akan mengakibatkan kemusnahan terumbu karang yang merupakan habitat penting pelbagai spesies hidupan laut dan juga merupakan tarikan utama ke Pulau Tioman.
“Pulau Tioman yang diwartakan sebagai Taman Laut turut mempunyai hutan hujan masih asli, sekali gus mempunyai habitat pelbagai spesies hidupan liar dengan sebahagian daripada pulau itu ditetapkan sebagai rizab hidupan liar,” katanya.
Baca juga: Kemelut Mohd Amar, Nik Abduh contoh amalan politik tidak sihat – Nik Nazmi
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, walaupun hasrat pembinaan lapangan terbang baharu adalah untuk menarik lebih ramai pelancong, ia akan merosakkan tarikan semula jadi Pulau Tioman yang akan membawa kepada pelancongan yang tidak mampan.
Jelas beliau, NRECC melalui Jabatan Alam Sekitar juga telah selesai melaksanakan proses pameran awal bagi Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment, EIA).
Katanya, laporan itu berkaitan ‘Cadangan Pembangunan Sebuah Lapangan Terbang Baharu di Pulau Tioman untuk Operasi Penerbangan Kod 4C Yang Berkeluasan 460.50 Ekar, Tioman, Daerah Rompin, Pahang Darul Makmur’.
“Susulan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal EIA (EIATRC) yang telah diadakan pada 9 Ogos 2023, kementerian mendapati bahawa cadangan Lapangan Terbang Baharu berpotensi untuk memberikan impak negatif.
“Impak itu sangat ketara kepada kualiti alam sekitar khususnya kepada penerima sensitif di sekitar Pulau Tioman termasuklah ekologi marin sekiranya diteruskan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

