PENYANYI popular Indonesia, Cakra Khan mengakui diselubungi perasaan gementar dan gugup ketika berdiri di atas pentas uji bakat program America’s Got Talent 2023 (AGT 2023) pada 18 Julai lalu.
Cakra atau nama penuhnya Cakra Konta Paryaman,31, berdepan dengan tekanan luar biasa apatah lagi dia tidak mengenali sesiapa pun ketika bertanding.
“Saya sangat gementar ketika berdiri di atas pentas AGT 2023. Sebelum ini saya sudah sering buat persembahan pentas di Indonesia.
“Cuma, situasinya berbeza bila di Indonesia, di belakang pentas ada pasukan yang saya kenal tapi di AGT 2023 saya sendiri. Saya tak mengenali sesiapa melainkan barisan juri,” katanya kepada URTV.
Justeru, bagi menghilangkan rasa gementarnya itu, Cakra fokus untuk menghabiskan nyanyiannya tanpa memberatkan fikiran tentang komen para juri.
“Sewaktu menyanyi, saya pegang mikrofon dengan kedua-dua tangan dan rapatkan ke dada. Ketika itu saya hanya fikir untuk selesaikan nyanyian saja.
“Selepas selesai menyanyi, saya tidak fikir apa kata juri sebab yang penting saya sudah selesai menghabiskan lagu. Ketika menyanyikan lagu pertama, Simon Cowell menghentikan nyanyian saya kerana tidak suka dengan pilihan lagu tersebut.
“Saya diberi peluang untuk menyanyikan lagu kedua. Waktu itu, saya lansung sudah tidak fikir apa pun komen yang bakal diberikan kepada saya. Paling penting, saya dapat selesaikan persembahan dengan sebaik mungkin,” ujarnya.
Penyanyi Kekasih Bayangan itu berkongsi pengalaman bertanding di AGT 2023 menerusi sidang media Dream Festival Collaboration Vol 4- Cakra Khan Live in Kuala Lumpur yang diadakan secara maya, hari ini.
Berkongsi persiapannya, Cakra memberitahu, penting untuk dia mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum kembali beraksi di pentas AGT 2023 yang dijadualkan bulan ini.
Malah, pada masa sama, dia juga sedang giat melakukan latihan selain sudah memilih lagu yang sesuai untuk dipersembahkan di program realiti berkenaan.
“Bagi memastikan vokal saya sentiasa dalam keadaan baik, saya melaukan rutin latihan setiap hari sebab saya seorang yang selalu ingin memberikan semaksimum yang boleh.
“Selain itu, saya juga akan pastikan untuk mendapatkan rehat yang secukupnya dan menjaga kesihatan agar selalu berada dalam keadaan baik.
“Saya sudah fikirkan dan pilih lagu yang mahu dibawakan. Sekarang ni saya sedang menunggu makluman daripada pihak AGT untuk berangkat ke Amerika Syarikat. Tunggu nanti saya kongsikan berita gembira itu nanti kepada semua,” jelasnya.
Cakra memukau para juri AGT 2023 dan menerima empat ‘yes’ sekaligus melayakkan dirinya untuk mara ke peringkat seterusnya.
Menerusi uji bakat pertama itu, Cakra memilih lagu Make It Rain yang dipopularkan oleh Ed Sheeran dan No Woman, No Cry oleh Bob Marley.
Bercerita tentang konsertnya di Zepp Kuala Lumpur pada 17 September ini, Cakra gembira apabila dapat melunaskan janjinya terhadap peminat di negara ini untuk mengadakan persembahan istimewa.
Malah, Cakra turut menampilkan dua penyanyi undangan iaitu Nadeera Zaini dan Riri Moeya bagi melengkapkan segmen konsertnya itu nanti.
“Saya seorang yang suka berkolaborasi dengan penyanyi lain. Pemilihan Nadeera itu adalah atas perbincangan pihak penganjur.
“Tapi bagi saya, Nadeera memiliki suara yang sangat luar biasa. Saya suka bekerja dengan artis yang belum pernah saya kerjasama.
“Pastinya saya akan berduet dengan Nadeera untuk konsert itu nanti,” kongsinya.
Tiket dijual pada harga RM178, RM198, RM318, RM508 dan RM5,880 (Royal Box untuk lapan penonton) dengan melayari www.ticket2u.com.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

