BAND dari Singapura yang mahu dikenali sebagai Life Petal kini muncul dengan karya terbaharu berjudul Warkah 2023 yang merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh vokalis kumpulan ini, Zax Ramli.
Selain Zax, Life Petal yang ditubuhkan pada 2013 itu turut dianggotai oleh Luqman Hakim sebagai pemain keyboard, Farah (vokalis kedua), Lee (dram), Hadi (bass), Iskandar Jeff (gitaris kedua) dan Yusuf (gitaris).
Menurut Luqman selaku ketua kumpulan, Warkah 2023 adalah kisah sebenar yang dilalui oleh Zax yang mungkin orang luar anggap sebagai ‘cliche’,
“Warkah adalah lagu yang disimbolikkan sebagai lagu cinta. Ia mengisahkan tentang sepasang insan yang melalui pelbagai fasa untuk mencapai cinta sejati tetapi tidak kesampaian.
“Pelbagai masalah melanda atas sebab darjat yang berbeza selain mendapat tentangan bapa wanita tersebut sekaligus menjadikan hubungan mereka kucar-kacir.
“Warkah dicipita dengan jalan cerita sebenar penyanyi utama kami iaitu Zax. Mungkin segelintir orang anggap jalan cerita lagu ini cliche. Itu terpulang pendapat masing-masing untuk menilaikannya,” katanya kepada URTV.
Selain Warkah 2023, Life Petal pernah menghasilkan enam lagu antaranya Permata Ku pada 2014, Ikrar Cinta (2016), Salam Maaf (2017), Tika Bersama (2017), Jiwa Ramadan (2018) dan Pilu (2019).

