BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan dirinya hari ini membuktikan empat tuduhan salah guna kuasa itu adalah palsu dan tidak benar.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menegaskan, empat tuduhan itu juga tidak langsung menepati mana-mana bab undang-undang dalam negara.
Kata beliau, tindakan mengheret beliau ke mahkamah itu juga dianggap sebagai penyalahgunaan proses mahkamah.
Muhyiddin berkata, beliau daripada awal lagi telah merasakan bahawa pertuduhan itu adalah bermotif politik.
“Sebenarnya saya tak melakukan apa-apa kesalahan pun dari segi undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau undang-undang lain. Ini terbukti dengan apa yang telah diputuskan Hakim.
“Saya bersyukur dan dengan itu saya boleh menyatakan kita akan terus berusaha, bekerja serta menjelaskan kepada khalayak tentang apa yang dibuat pihak tertentu untuk menganiaya saya.
“Tentu ada pihak tertentu yang bertanggungjawab kerana biasanya tak berlaku hal sebegini.
“Saya dimaklumkan tiada kes lain seperti ini, kes ini pertama sebab itu Hakim tidak bersetuju dan menolak pertuduhan ke atas saya,” katanya dalam sidang media hari ini.
Baca artikel berkaitan: Mahkamah Tinggi lepas, bebas Muhyiddin empat tuduhan salah guna kuasa RM232.5 juta
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menzahirkan penghargaan kepada pasukan peguamnya diketuai Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang telah melaksanakan tanggungjawab sebaiknya.
Beliau berkata, pasukan peguam itu telah membentangkan penjelasan dari sudut undang-undang yang cukup tepat dan berkesan.
“Sebab itu saya fikir Yang Arif Hakim mendapati pembentangan kita kukuh, memang ada asas yang kuat dan pertuduhan digugurkan terhadap saya.
“Terima kasih kepada semua dan keluarga saya yang memberi semangat.
“Kita akan terus berjuang untuk menegakkan keadilan, menentang kemungkaran dan ini memberikan Perikatan Nasional (PN) semangat lebih tinggi untuk menentang kezaliman, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sebagainya.
“Itu adalah suatu perkara jelas dilihat dilakukan kerajaan pada hari ini dengan kes yang telah pun disebutkan tadi,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Presiden Bersatu itu daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu setelah mendapati keempat-empat pertuduhan tersebut adalah kabur, cacat dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan.
“Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Muhyiddin) untuk membatalkan keempat-empat pertuduhan berkenaan. Dengan ini, pemohon dilepas dan dibebaskan,” katanya.
Muhyiddin, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti tersebut.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

