PELAKON popular, Intan Najuwa selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Ahmad Asraf Azman, 39, dengan sekali lafaz pada jam 6.45 petang tadi.
Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abd Wahid, 26 tahun telah selamat dinikahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Datuk Dr Hj Nooh Gadot di majlis pernikahan yang berlangsung di sebuah resort di Pantai Desaru.
Dalam majlis yang bertemakan empat unsur alam ini, Intan menerima mas kahwin bernilai RM20,000 dan juga hantaran bernilai RM222,000.
Angka dua menjadi pilihan sebagai lambang tempoh dua tahun perkenalan antara Intan dan juga Ahmad Asraf.
Majlis yang dikemudikan oleh pihak Rimbunan Events & Whitebox ini telah berlangsung secara sederhana dengan dihadiri kira-kira 150 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan terdekat,selebriti dan juga pihak media.

Segala persiapan telah pun berlangsung selama sebulan dan pemilihan tarikh 18 Ogos ini merupakan tarikh yang signifikan kerana ianya juga adalah tanggal kelahiran Intan.
Majlis resepsi bertemakan tradisional bakal berlangsung di Rimbunan Event Space, Johor Bahru, malam esok.
Pelakon drama bersiri Jesnita itu menzahirkan rasa syukur dan juga mengucapkan jutaan terima kasih buat semua tetamu yang hadir pada hari bahagianya.
“Alhamdulillah, saya bersyukur segalanya dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.
“Doakan yang terbaik buat kami berdua dalam melayari rumah tangga.
“Walaupun sudah bergelar isteri, Intan akan terus menyambung karier lakonan serta mengutamakan juga pengajian Intan serta bisnes Intan sekarang.
“Intan juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat atas sokongan yang diberi seawal kerjaya Intan sehingga hari ini,” kata pelakon drama Tak Sempurna Mencintaimu itu.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

