Pempengaruh dan pengasas jenama fesyen SVG Worldwide, Ashraf Anuar berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila mengadakan pertunjukan fesyen di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) buat julung kalinya pada 20 Ogos lalu.
Lebih istimewa, pertunjukan fesyen terakhir bagi jenama SVG Worldwide itu turut dihadiri oleh ibu tercinta yang hadir dengan berkerusi roda kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Bapa Ashraf turut diundang untuk membuat kemunculan istimewa apabila memperagakan koleksi terbaharu Neonate x SVG bersama 80 model lain.

Ashraf menerusi satu luahan di Instagram peribadinya turut menzahirkan rasa terima kasih kepada ibu serta seluruh keluarga yang hadir memberi sokongan.
“Kesemua ahli keluarga saya juga hadir terutama ibu tercinta walaupun dalam keadaan kurang sihat. Beliau tetap gagahkan diri untuk hadir ke pertunjukan fesyen anaknya.
“Terima kasih kerana mendidik Ashraf Anuar sehingga ke hari ini ibu. Ini semua untuk ibu semoga acara ni juga menjadi penguat semangat untuk ibu sihat seperti sediakala,” tulisnya.
Lelaki berusia 23 tahun itu turut membawa ibu ke pentas utama dan membawa wanita itu mengelilingi ‘runway’ terpanjang yang dianggarkan 800 meter di hadapan lebih 3,500 tetamu yang hadir.
Dalam pada itu, Ashraf turut berkongsi rasa teruja apabila SVG dan Neonate yang bertemakan ‘Race Day’ melakar sejarah baharu apabila menjadi jenama pertama yang berjaya membuat sebuah pertunjukan fesyen di SIC.
“Terima kasih buat yang hadir dari jauh, berpanas dari pagi hingga ke malam demi pertunjukan fesyen kami.
“Harap semuanya berpuas hati dengan apa yang kami tampilkan dan tidak lupa juga buat rakan penaja utama De’xandra, Vapeboss Malaysia kerana percaya dengan kemampuan kami,” katanya.

Bertemakan ‘Race Day’, pertunjukan Neonate X SVG itu diadakan sehari sebelum jadual rasmi Kuala Lumpur Fashion Week 2023 (KLFW23).
Lebih 83 koleksi ‘Race Day’ diperagakan dengan pembabitan 80 model pilihan Neonate dan SVG. Seramai 10 Muse diperkenalkan pada acara ini seperti MK K-Clique, Saixse, Haneesya Hanee dan Qawiy (TikTok).

