Orang yang tidak beriman adalah yang tiada perasaan malu

Dari Penulis

Definisi malu hari ini tidak sebagaimana malunya Rasulullah s.a.w kepada Allah. Peristiwa Israk Mikraj yang membawa arahan kewajiban solat lima waktu untuk umat Islam, turut memaparkan betapa malunya Rasulullah untuk bertemu Allah dalam memenuhi permintaan mengurangkan bilangan waktu solat. 

Kisah ini  diceritakan daripada Anas bin Malik r.a. berkata, Nabi Muhammad s.a.w bersabda,

“Allah Azza wajalla memerintahkan solat 50 waktu kepada umatku. Ketika aku kembali dengan perintah ini, aku bertemu Musa yang bertanya kepadaku, “Apa yang Allah perintahkan kepada para pengikutmu?” Aku menjawab, “Dia memerintahkan solat 50 waktu kepada umatku.” Musa berkata, “Kembalilah kepada Tuhanmu sebab para pengikutmu tidak akan sanggup menjalankan perintah itu.

Maka aku pun kembali menemui Allah dan meminta keringanan untuk umatku dan Dia memberi keringanan hingga separuhnya. Ketika aku bertemu kembali dengan Musa dan memberitahu hal itu kepadanya, dia berkata, “Kembalilah pada Tuhanmu sebab para pengikutmu tidak akan sanggup mengerjakan perintah itu.

Maka aku pun kembali menemui Allah dan meminta keringanan dan Dia mengurangi perintah itu hingga separuhnya lagi. Aku kembali bertemu dengan Musa dan dia berkata kepadaku, “Kembalilah kepada Tuhanmu sebab para pengikutmu tidak akan sanggup mengerjakan perintah itu.”

Maka aku pun kembali menemui Allah dan Dia berfirman, “Ini (perintah) solat lima waktu dan solat lima waktu ini setara dengan solat 50 waktu sebab kalam-Ku tidak akan berubah.

Aku kembali bertemu dengan Musa dan dia menyarankan aku kembali sekali lagi (menemui Allah dan meminta keringanan bagi umatku). Aku menjawab, “Sekarang aku berasa malu untuk meminta keringanan kepada Tuhanku.” (HR Bukhari)

Jelas kedudukan malu diangkat ke darjat yang amat tinggi. Rasulullah s.a.w. dalam satu dialog bersama para sahabat pernah berkata,

“Malulah kepada Allah dengan sebenar-benarnya” Para sahabat menjawab,

“Wahai Nabi Allah, kami memang malu kepada Allah dan sentiasa memuji-Nya” Nabi bersabda, ”

Bukan begitu yang saya maksudkan. Tetapi, orang yang malu kepada Allah dengan sebenar-benarnya mestilah menjaga kepala dan fikiran yang terkandung di dalamnya. Hendaklah juga menjaga perut dan apa yang dikumpulkan di dalamnya, dan hendaknya dia mengingati maut dan bencana yang akan menimpanya. Siapa yang menginginkan akhirat, maka dia mesti sanggup meninggalkan keindahan hiasan dunia.”  (HR at-Tirmizi)

Menyorot perbincangan mengenai sifat malu terdapat juga beberapa hadis dari Baginda s.a.w. antaranya dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

“Iman itu ada lebih 60 cabang. Dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman.”  

Dalam satu hadis yang lain, Abdullah ibn Umar meriwayatkan, Rasulullah berjalan melintasi seorang pemuda yang memarahi saudara lelakinya yang sangat pemalu.

“Engkau seorang yang sangat pemalu dan aku bimbang sifat malumu itu akan memusnahkan dirimu”. Mendengar kata-kata lelaki itu, Rasulullah bersabda,

“Tinggalkanlah ia, kerana sifat pemalu itu sebahagian daripada iman”. (HR Bukhari)

Malu dalam  Islam adalah penentu batas keimanan seseorang. Hilang perasaan malu, maka hilangnya rasa keimanan seseorang kepada pencipta-Nya. Dari malu datangnya takwa iaitu rasa takut kepada Allah untuk melakukan perkara-perkara yang melanggar syariat-Nya.  

Dari malu, maka terjagalah kehormatan manusia. Dan dari malu itu jugalah sebenarnya, status atau darjat manusia itu diangkat semulia-mulianya di sisi Allah.  

Hari ini malu diberi pendefinisian yang salah gara-gara peredaran zaman. Juga malu diletakkan pada tempat yang salah hanya kerana untuk mengangkat sesuatu yang menjadi kebiasaan.

Contohnya mudah. Pemakaian seluar ketat dianggap sesuatu yang tidak salah dan tidak menjatuhkan rasa malu seseorang. Hal ini terjadi apabila ramai yang memakai pakaian sebegitu sehingga ia menjadi kebiasaan termasuklah wanita tidak bertudung. 

Justeru timbul kefahaman bahawa tidak perlu malu untuk memakai seluar ketat, atau lebih tepat lagi tidak perlu malu untuk tidak menutup aurat walhal hal ini amatlah menyalahi konsep malu yang diajar dalam Islam.

“Persepsi ‘kebiasaan’ itu sekalipun melanggar syariat Allah, bukan lagi menjadi ukuran dan sandaran kerana semua orang melakukannya. Inilah yang perlu diperbetulkan.

Bukan itu sahaja, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan juga telah dianggap kebiasaan dan menjadi nomalisasi sekalipun syarak melarangnya. Menyentuh lelaki dan perempuan yang bukan mahram juga dikatakan sebagai kebiasaan walhal Islam menetapkan batasnya. 

Dan kebiasaan ini terus diangkat untuk menjadi satu gaya hidup dan tidak perlu lagi malu untuk dipertontonkan kepada khalayak. Justeru tidak hairanlah jika ramai masyarakat hari ini dengan selamba membawa pasangan yang berlainan gender untuk duduk serumah sekalipun tiada pertalian yang sah di sisi syarak. 

Sebetulnya, nafsu yang meruntun jiwa manusia telah berjaya menewaskan perasaan malu iaitu sifat yang dibekalkan oleh Allah sejak manusia dilahirkan. Sebaliknya malu itu wujud bila mana seseorang itu cuba melakukan sesuatu perkara yang takut diketahui oleh orang lain seperti mencuri, mengumpat dan sebagainya. Begitu juga, menderhakai ibu bapa juga tidak mungkin terang-terangan dilakukan jika di sekelilingnya ada saudara mara atau orang awam. 

Persoalannya, kenapa perlu berselindung daripada perhatian orang lain? Kenapa tidak dengan Allah S.W.T. untuk kita meletakkan rasa malu itu?  Secara mudahnya kenapa perlu malu dengan manusia tetapi tidak dengan Allah?

Apakah mungkin kerana kita beranggapan Allah memang sudah mengetahui semuanya, oleh itu tiada rasa malu yang perlu kita hadirkan kepada-Nya? Atau mungkinkah kita menyangka Allah lebih memahami situasi kita, maka itu menjadi alasan untuk hilang rasa malu dengan-Nya?

Jarang sekali kita sedar bahawa Allah yang Maha Mengetahui sebenarnya boleh sahaja membuka rahsia dosa kita bila-bila masa yang dikehendaki-Nya. Apakah waktu itu baru kita sedar  di mana seharusnya malu itu diletakkan?

Tidak dinafikan, hilangnya sifat malu itu apabila hilangnya pegangan agama yang menjadi  tunjang dalam  kehidupan manusia. Sekaligus hilangnya rasa kepercayaan bahawa Allah sentiasa memerhati gerak laku setiap manusia yang diciptakan sekalipun dilakukan  dalam keadaan bersembunyi. 

Ibnul  Qayyim  dalam tulisannya menyatakan, malu adalah benteng terjerumusnya manusia ke lembah maksiat. Dengan adanya sifat malu, maka  seseorang hamba sedar bahawa dirinya sering diperhatikan sekali gus menidakkan seseorang untuk melanggar batas syariat. Wallahu a’lam

___________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah 1448H Beri Fokus Kepada Mesej Keamanan & Peradaban Kontemporari

PERISTIWA Maal Hijrah tidak seharusnya dibiarkan berlalu sekadar penceritaan lipatan sejarah dan sambutan tahunan semata-mata, sebaliknya ia perlu diangkat...

More Articles Like This