NAIB Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof telah memulakan tindakan undang-undang terhadap penceramah bebas, Ahmad Dusuki Rani berhubung kenyataan bersifat fitnah.
Mujahid memaklumkan, Ahmad Dusuki mengeluarkan kenyataan itu terhadap beliau selepas kalah dalam saman fitnah baru-baru ini.
Jelas Mujahid, beliau mendapati kenyataan Ahmad Dusuki mempunyai unsur-unsur penghinaan kepada mahkamah yang mana penceramah bebas itu dilihat mempertikai, memperlekeh dan memutarbelitkan keputusan yang diberi Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Mahkamah Tinggi Shah Alam.
“Oleh itu peguam saya iaitu Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir mengeluarkan notis tuntutan kepada Dusuki bagi memadamkan kenyataan fitnah berkenaan dalam tempoh 48 jam kerana ia mengelirukan orang ramai.
“Berhenti memberikan kenyataan berunsur fitnah dan mengelirukan terhadap saya serta membayar ganti rugi berjumlah RM1 juta,” katanya dalam kenyataan.
Baca juga: Aset TH dijual kepada bukan Islam terbukti hanya fitnah Dusuki, Pas – Mujahid
Pada 31 Ogos lalu, Ahmad Dusuki yang menarik balik rayuan berhubung saman fitnah terhadap Mujahid menyindir bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu kerana dapat menyelamatkan hampir RM300 juta nilaian tanah ladang harta pendeposit Tabung Haji (TH).
Ahmad Dusuki menafikan kalah selepas menarik balik rayuan berhubung saman fitnah pada 28 Ogos lalu.
Rayuan Ahmad Dusuki itu membabitkan isu di sebalik penjualan aset TH dan berkaitan ciapannya: “Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan.”
Susulan penarikan balik rayuan itu pada Isnin lalu, Ahmad Dusuki diperintahkan membayar kos RM5,000.
Mahkamah Sesyen Shah Alam di Selangor sebelum ini, menolak saman fitnah itu dengan kos RM11,000 sebelum penceramah bebas itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.
Dalam pada itu, Mujahid menambah peguamcaranya turut mengeluarkan notis semalam bagi menuntut Dusuki membayar keseluruhan kos yang diperintahkan oleh mahkamah sebelum ini berjumlah RM23,000 dalam tempoh 14 hari.
“Sekiranya dia gagal mematuhi tuntutan, saya tidak teragak-agak akan teruskan dengan tindakan Mahkamah terhadap Dusuki, termasuk prosiding menghina mahkamah,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

