LANDSKAP politik negara disifatkan bakal berubah sekiranya Datuk Onn Hafiz Ghazi berjaya membawa Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sehingga membentuk kerajaan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendakwa, sekiranya BN memperoleh kemenangan, Onn Hafiz akan muncul sebagai pemimpin muda dari Johor yang boleh melangkah jauh ke depan.
Pada masa sama, kata beliau, kemenangan BN juga akan mencalarkan imej Pakatan Harapan (PH) yang didakwa mempamerkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai panglima perang gabungan tersebut.
“PRN Johor ini telah mempamerkan dua panglima perang. PH menonjolkan Anwar Ibrahim sendiri sebagai panglimanya.
“BN dan UMNO mempertaruhkan Onn Hafiz sebagai jeneral di baris depan. Anwar Ibrahim seorang Perdana Menteri kerajaan Pusat manakala Onn Hafiz hanya seorang menteri besar sebuah kerajaan negeri. Di sinilah risiko dihadapi Anwar.
“Kejayaan Onn Hafiz di PRN Johor, jika benar-benar berlaku menjadikan beliau satu bintang baharu dari selatan untuk bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia akan datang,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, sekiranya PH menang, Anwar tetap menjadi Perdana Menteri dan perkara itu bukan suatu yang menghairankan apabila Pengerusi PH itu kelihatan aktif berkempen hampir setiap hari.
Bagaimanapun, katanya, jika PH ditakdirkan tewas, beliau mendakwa kesannya sangat buruk.
“Jadi kalah dalam PRN Johor kali ini bukan satu pilihan kepada Anwar dan PH.
“Dalam tempoh tak sampai seminggu ini para pemimpin, anggota dan penyokong PH yang dikatakan berjumlah lebih sejuta orang itu perlulah bekerja kuat bagi menentukan PH menang. Tiada pilihan lain,” jelasnya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

