PERNAHKAH anda mendengar kisah manusia yang terbakar secara tiba-tiba? Kedengaran aneh, namun ia salah satu fenomena ganjil yang memang berlaku. Fenomena aneh ini dipanggil Spontaous Human Combustion atau disebut SHC.
Apa itu SHC? SHC boleh dimaksudkan sebagai ‘manusia terbakar secara tiba-tiba’. Anehnya tiada sesuatu bahan api atau punca kebakaran ditemui sekitar mangsa.
Lebih pelik, sering kali tubuh mangsa yang terbakar didapati hangus, tapi objek di sekitarnya tidak mengalami sebarang kerosakan seolaholah tidak tersentuh api sama sekali.
Fenomena SHC pertama kali dilaporkan berlaku apabila seorang ahli anatomi Denmark bernama Thomas Bar Tholin mendedahkannya kepada umum pada tahun 1663. Kejadian aneh itu melibatkan jasad seorang wanita yang tinggal di Paris ditemui hanya tinggal abu di tempat tidurnya. Anehnya, hanya abu itu saja yang berasap tetapi cadar dan katil sama sekali tidak terbakar.
Pada tahun 1763, fenomena ini mulai mendapat perhatian ramai apabila seorang lelaki Perancis bernama Jonas Dupont membukukan peristiwa yang melibatkan SHC berjudul De Incendiis Corporis Humani Spontaneis.
Charles Dickens, seorang sasterawan dan pengarang terkenal turut mengabdikan fenomena ini di dalam novelnya, Bleak House. Rentetan pelbagai peristiwa itu, para ilmuwan mula melakukan kajian secara serius mengenai SHC untuk mengetahui lebih lanjut punca kejadian itu.

Hasil kajian itu cukup mengejutkan. Ternyata fenomena SHC telah banyak berlaku tetapi banyak yang tidak diketahui umum. Misalnya, dilaporkan pada tahun 1731, seorang wanita yang dikenali sebagai Countess Cornelia dari Cesena, Itali, ditemui meninggal dunia akibat terbakar di lantai bilik tidurnya.
Ketika mayatnya ditemui, kaki wanita itu masih berstoking dan sebahagian kepalanya masih berkeadaan baik. Peliknya, anggota badan lain hangus. Kes itu dianggap membingungkan kerana biasanya dalam kes kebakaran rumah, anggota tubuh terbakar lebih dulu. Namun, dalam kes ini tubuh mangsa menjadi abu namun kaki dan kepala mangsa masih elok.
Kejadian aneh melibatkan SHC sukar diterima akal disebabkan kejadian itu boleh berlaku secara mengejut. Misalnya pada 27 Ogos 1938, Phyllis Newcombe dan tunangannya Madge Knight baru saja meninggalkan majlis pada tengah malam di Chelmsford. Tiba-tiba gaun yang dipakai Phyllis yang diperbuat daripada bahan crinoline terbakar secara tiba-tiba.
Bagaimanapun, dia sempat menanggalkan gaun tersebut tetapi mengalami kecederaan parah dan dihantar ke hospital. Beberapa jam kemudian, wanita ini disahkan meninggal dunia.
Satu lagi kejadian melibatkan seorang wanita sedang menari dengan pasangannya di dalam sebuah disko. Sedang asyik menari, tiba-tiba tubuh wanita tersebut dijilat api. Akhirnya dia meninggal dunia di dalam disko tersebut sebelum api berjaya dipadamkan.
Kejadian yang berlaku pada tahun 1950 di London itu tidak berjaya diselesaikan oleh pihak polis. Siasatan yang dijalankan gagal menemui penyebab wanita itu terbakar. Berdasarkan keterangan saksi, tidak ada sesiapa yang merokok berdekatan wanita itu dan tiada lilin terpasang di atas meja.
Selain kes itu, pada Oktober 1963, seorang lagi mangsa Olga Woth pula meninggal kerana terbakar hidup-hidup di dalam keretanya. Pihak polis yang menjalankan siasatan mengesahkan mereka tidak menemui sebarang petanda atau bau bahan kimia mudah terbakar dalam kereta mangsa. Lebih aneh, hanya tubuh Olga Woth saja yang terbakar manakala kusyen keretanya masih berkeadaan baik.
Mangsa SHC seterusnya Dr. John Irving Bentley yang ditemui mati terbakar di dalam bilik mandinya pada Disember 1966. Ketika ditemui, hanya kakinya yang masih elok manakala anggota lain semuanya hangus. Tambah memelikkan, barang-barang di bilik mandi mangsa langsung tidak terjejas. Kes ini juga merupakan salah satu kes SHC yang paling terkenal di dunia.

Selepas kejadian ini para ilmuwan yang mengkaji membuat rumusan bahawa salah satu penyebab yang paling popular berlakunya kejadian SHC dikenali sebagai ‘efek sumbu’ (wick effect).
Kesemua mangsa terlibat dikatakan tidak sedarkan diri akibat serangan jantung atau terlampau banyak meneguk minuman beralkohol. Sumber api yang berhampiran, misalnya daripada percikan api puntung rokok mudah menyambar seterusnya membakar tubuh mangsa disebabkan bantuan alkohol sebagai agen mudah terbakar.
Teori ini bagaimanapun dianggap lemah. Faktanya, ketika kejadian banyak mangsa sedang melakukan aktiviti secara aktif ketika SHC ini berlaku. Selain itu, sumber daripada percikan seperti rokok tidak dapat diterima sebagai faktor utama yang berupaya membakar tubuh mangsa.
Ada juga kajian mengaitkan fenomena SHC berlaku akibat adanya ‘penyimpanan’ medan magnetik bumi. Hipotesis ini menyatakan bahawa manusia tertentu memiliki kemampuan untuk mengumpul gelombang magnetik sehingga kemuncaknya membentuk unggun api membolehkan tubuh terbakar secara tiba-tiba.
Satu lagi hipotesis iaitu teori gas metana dan aliran elektrik statik dalam tubuh manusia dikaitkan dengan mangsa SHC. Teori ini mengatakan, SHC terjadi ketika gas metana ini bercampur baur dengan elektrik statik di dalam tubuh sehingga menghasilkan ledakan api.
Teori ini agak diterima akal. Namun persoalannya bolehkah elektrik dan gas metana di dalam tubuh dapat mencipta letupan bebola api sehingga mangsa menjadi abu?
Sehingga kini, fenomena api membakar tubuh manusia secara tiba-tiba ini masih menjadi misteri yang sukar dirungkaikan oleh para saintis dan ilmuwan.
________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

