Saya sejak kecil memang seorang yang tidak banyak bercakap dan suka mengasingkan diri. Pulang sekolah, saya lebih suka duduk di dalam bilik. Apatah lagi kalau saya dimarahi oleh mak. Saya akan duduk berkurung mendiamkan diri.
Sewaktu saya berada sendirian di dalam bilik, saya seolah-olah ditemani oleh seseorang. Ada sesuatu yang berbual dengan saya, tetapi saya tidak nampak. Kalau saya merajuk, seperti ada yang memujuk saya.
“Janganlah merajuk. Mak marah sebab sayangkan awak,” kata suara itu.
Suara itu tidak kedengaran secara fizikal, tetapi saya boleh merasakan seperti saya sedang berinteraksi dengan seseorang. Semenjak itulah saya mengalami bermacam-macam kisah aneh.
Saya pernah cuba menceritakan perkara itu kepada emak. Tetapi apabila berada bersama emak, saya menjadi lupa. Segala keadaan yang saya lalui bagai tidak boleh diceritakan.
Paling saya ingat sewaktu saya di dalam kelas, saya mengajak seorang rakan untuk menemani saya ke tandas. Dalam perjalanan saya bersembang dengan rakan seperti biasa sehinggalah sampai ke tandas. Sebaik keluar dari tandas, saya lihat rakan saya sudah tiada. Rupanya, dia sudah berada di dalam kelas.
“Eh! Awat hang tinggal aku tadi?” tanya saya.
“Tinggal hang pi mana?” soal kawan saya.
“Kat tandas tadi,” kata saya.
“Bila masa aku pi tandas dengan hang? Aku duk ada sini tak pi mana-mana pun,” balas kawan saya.
Saya mulai pelik. Memang saya bersama rakan itu sebentar tadi. Semua kawan-kawan lain juga mengatakan saya hanya sendirian ke tandas. Saya terdiam. Walaupun pelik, tidak pula saya terasa takut.

Selepas tamat persekolahan, saya berhijrah ke Pulau Pinang untuk bekerja. Ketika ini saya mula didatangi mimpi aneh. Dalam mimpi itu, saya berada di tempat gelap. Dalam keadaan itu, ada satu cahaya kecil berwarna kuning seakan laser berterbangan di depan saya.
Mimpi itu kerap berulang. Kadangkala dua tiga hari sekali. Ada masa setiap hari. Saya pelik. Apakah petanda mimpi itu?
Akibat terlalu memikirkan hal itu, saya mula merasa takut. Banyak perkara berlaku yang tidak masuk akal. Disebabkan itu, saya nekad untuk pulang ke Alor Setar, Kedah. Setahun di situ, kami terpaksa pindah ke kampung kerana tuan rumah yang kami duduk ingin mengambil semula rumah yang kami sewa.
Tahun pertama saya pulang, tiada apa-apa yang berlaku. Saya juga tidak lagi menerima mimpi aneh itu. Namun, setelah pindah ke kampung di Pendang, mimpi itu datang semula. Kali ini cahaya yang kecil itu semakin membesar.
Selepas itu, datang pula satu suara. Suara itu seperti mengatakan sesuatu namun bahasanya langsung saya tidak faham. Kemudian, mula berlaku perubahan bila saya mudah jadi pelupa.
Sewaktu sedang duduk bersama keluarga, tiba-tiba saya lupa dan saya tertanya-tanya dalam hati, ‘eh, aku sebenarnya siapa?’ Apabila melihat wajah emak, ayah dan adik beradik, saya tertanya-tanya, mereka semua siapa? Dengan tiba-tiba saya lupa ingatan.
Selepas itu, bermula episod yang sukar diterima logik akal apabila banyak barang kaca di dalam rumah mula pecah dengan sendirinya. Pada mulanya kami ingatkan barang itu terjatuh, tapi lama-kelamaan semakin banyak berlaku, seolah-olah ada seseorang yang mencampakkannya.

Selepas itu, setiap hari juga rumah saya akan dibaling dengan beras kunyit. Bukan sekali, tetapi boleh dikatakan hampir setiap hari tidak kira siang atau malam. Berita itu mula diketahui oleh penduduk kampung hinggalah ke segenap tempat.
Ramai yang datang ke rumah untuk mendengar sendiri cerita itu. Ramai juga perawat yang datang cuba membantu, tetapi tidak berjaya. Akhirnya, seorang perawat mencadangkan supaya saya berpindah ke tempat lain. Lalu ayah bawa kami berpindah ke Taman Belimbing.
Selepas pindah, tiada lagi gangguan dalam rumah. Saya juga tidak lagi mengalami sebarang kejadian aneh. Setahun kemudian, kami bercadang untuk membuat kenduri makan-makan untuk ahli keluarga.
Sedang saya dan emak membuat persiapan, tiba-tiba seekor lipan bara yang besar berada di atas paha saya. Kami terkejut. Apabila saya menepis lipan itu, ia terus hilang. Puas kami cari tapi tidak jumpa.
Petang itu, ibu saudara saya terjumpa satu bungkusan plastik berwarna hitam betul-betul berada di depan pagar rumah kami. Dalamnya berisi dua biji telur. Kami langsung tidak tahu dari mana datangnya plastik itu.
Malam itu selesai kenduri, adik saya semuanya pergi ke rumah bapa saudara saya. Tinggal saya berdua dengan emak di rumah. Sebaik lampu bilik dimatikan, tiba-tiba badan saya terasa gatal-gatal dan pedih.
“Awat ni mak, badan pedih-pedih ni,” kata saya.
Sebaik lampu dibuka, kami terkejut kerana seluruh badan saya berbirat-birat seperti seseorang yang terkena sopak garam.
“Hang buat apa jadi gini? Hang makan apa?” soal mak.
“Mana ada buat apa. Makan biasa ja,” balas saya.
Saya dan emak bangun untuk ke tandas. Sewaktu kami mahu naik ke bilik, tiba-tiba kami terdengar seperti ada seseorang mencampakkan benda di dalam bilik. Apabila kami membuka pintu, kami terkejut melihat di atas katil dan lantai bilik dipenuhi dengan beras kunyit. Selain itu botol pewarna yang kami simpan di dalam peti juga berada di situ. Di atas lantai, ada satu tulisan.
“Aku Mahu Darah!”
Kami berdua mulai takut. Emak segera membuat laporan polis dan memanggil sanak-saudara datang ke rumah. Kami juga dinasihatkan untuk cuba berubat kerana mengikut siasatan, tiada langsung unsur-unsur jenayah.

Bermula dari hari itulah, saya jatuh sakit. Saya boleh ketawa sendirian, dan kadangkala saya menangis. Ada waktunya saya akan meracau dan tidak sedarkan diri. Saya rasa mahu menjerit.
Saya juga boleh berubah menjadi agresif hingga mengambil pisau dan bertindak ganas. Semua itu berlaku dalam keadaan saya tidak sedar. Malah ketika sedar pun, saya mudah jadi pelupa.
Kadang-kadang hujung kuku kaki saya terasa pedih-pedih. Apabila ditekan, akan keluar ketulan kecil seperti batu berwarna putih. Kalau tidak di hujung kuku kaki, ia akan keluar melalui hujung mata.
Selepas itu barang-barang di dalam rumah mula pecah sendiri. Ada juga yang bergerak sendiri. Setiap hari ada sahaja barang yang pecah. Kemuncaknya ialah bila datang api misteri. Tiba-tiba terbakar dalam almari, langsir dan tempat-tempat lain dalam rumah kami.
Waktu ini, pihak bomba bersiap sedia di rumah kami. Saudara-mara, jiran-jiran dan kawan-kawan juga berkawal di rumah saya. Mereka inilah yang banyak membantu. Lebih kurang 40 orang pengamal perubatan datang membantu, juga tidak berhasil. Lama-kelamaan, ia seperti hilang dengan sendirinya.
Saya masih ingat, perawat terakhir datang ialah seorang lelaki dari Yala, Thailand. Ayah membawa perawat itu ke rumah. Waktu itu keadaan sudah sedikit reda. Perawat itu memberikan sebiji cili merah kepada saya.
Keesokannya, cili itu bertukar menjadi batu permata berwarna putih. Selepas hari itulah, timbul satu perasaan dalam diri saya untuk membantu orang.
Mengapa? Kerana sejak pelbagai kejadian aneh itu, saya dapat kelebihan lain bila boleh nampak apa yang orang tidak nampak dengan mata kasar. Bermula dari situ, saya menjadi perawat dan menubuhkan kumpulan paranormal saya sendiri.

NOTA : Saya dalam cerita di atas adalah Afieyza Arshad, salah seorang pengasas kumpulan Poseidon Paranormal Investigator. Kisah Afieyza pernah menggemparkan Malaysia lebih kurang 20 tahun yang lalu apabila bermacam-macam kisah aneh berlaku kepadanya. Jika anda ingat kisah gadis yang mengeluarkan batu permata dari mata dan kakinya yang pernah menghiasi dada akhbar sekitar dua dekad lalu, gadis itu adalah Afieyza.
___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

