AKTRES Puteri Sarah Liyana tetap akan meneruskan saman terhadap bekas kakak ipar Ira Kazar iaitu Wiwi Darvinda Mazwena Mazlan.
Menurut Sarah, dia telah pun berbincang dengan bekas suaminya iaitu pengarah Syamsul Yusof mengenai isu tersebut.
“Saya dapat tahu segala info tentang wanita berkenaan yang masih lagi bercakap tentang saya di media sosial pada hari saya baru habis tempoh edah.
“Bila berlaku pada hari itu, saya tertanya-tanya kenapa perkara ini tak habis-habis lagi. Saya tak kacau awak, awak pun janganlah kacau saya.
“Bila saya tengok apa yang dia tulis bukan sahaja melibatkan saya tetapi turut membabitkan keluarga saya dan juga Syamsul.
“Bila saya dapat semua bukti itu, saya terus hubungi Syamsul. Saya tanya dia apa nak buat ni? Kita dah tak ada masalah, tetapi orang pula ada masalah dengan kita.
“Jadi Syamsul kata pada saya, awak buatlah apa yang awak nak buat. Saya okay sahaja,” katanya kepada URTV.
Puteri Sarah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media teater Pak Pandir dan Labu Ajaib di Glasshouse, Seputeh, semalam.
Tambah Puteri Sarah lagi, dia ada menghubungi bekas bapa dan ibu mentuanya iaitu Datuk Yusof Haslam serta Datin Patimah Ali untuk menjelaskan kes saman tersebut.
Jelasnya, jika dia tidak meneruskan saman tersebut, ia akan berpanjangan sekaligus menjejaskan imejnya.
“Mereka memberi keizinan untuk saya lakukan apa sahaja tindakan.
“Mereka juga kesian dengan saya dan mahu saya menjalani kehidupan dengan tenang.
“Mungkin ada yang kata saya ni tak habis-habis dengan isu ini, tetapi saya berharap biarlah ini yang terakhir. Saya juga sudah penat,” luahnya.
Puteri Sarah juga tidak akan menarik semula saman tersebut seperti mana yang pernah dia lakukan terhadap bekas madunya, Ira Kazar sebelum ini.
“Kali ini saya memang buat betul-betul dan tak akan tarik semula.
“Saya tarik saman terdahulu kerana saya dan Syamsul mencapai kata persetujuan supaya kami masing-masing boleh hidup dengan tenang dan jalani kehidupan masing-masing.
“Tetapi bila semuanya telah selesai, timbul pula isu ini,” katanya.
Kongsinya lagi, selepas dia meluahkan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang, wanita berkenaan telah menghubunginya untuk berjumpa, tetapi dia enggan bertemu.
“Dia ada mesej langsung (DM) saya tapi saya tak balas pun mesej dia.
“Biarlah pihak peguam saya yang uruskan. Jika kami terus bercakap secara peribadi, takut timbul hal lain pula,” ungkapnya.
Bercerita tentang perkembangan terkini, Puteri Sarah bakal muncul dengan teater muzikal kanak-kanak berjudul Pan Pandir Dan Labu Ajaib.
“Dalam teater ini, saya bawa watak antagonis bernama Ratu Sukma yang merupakan seorang nenek kebayan.
“Saya baru sahaja habis drama Hijrah Jannah di mana saya turut membawakan watak antagonis.
“Jadi agak mudah untuk saya kekalkan momentum watak antagonis dalam teater ini,” tuturnya.
Teater yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 13 hingga 15 Oktober itu turut dibintangi oleh Janna Nick, Bell Ngasri, Noreen Iman, Aya Amiruddin, Naque Ariffin dan ramai lagi.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

