Enggan Pisang Berbuah Dua Kali, Ira Kazar Letak Syarat Tinggi Cari Pengganti

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

SELEPAS hampir dua tahun melalui fasa hidup bersendirian, penyanyi dan personaliti media sosial, Ira Kazar, kini lebih terbuka namun berhati-hati dalam menentukan hala tuju kehidupan peribadinya.

Mengakui pengalaman lalu sebagai ‘guru’ terbaik, Ira mendedahkan bahawa dia kini meletakkan kriteria yang lebih spesifik dalam memilih bakal pasangan hidup demi menjamin keharmonian masa depan.

Pemilik nama sebenar Faghira Fatini Kazaruddin, 31, menyatakan bahawa aspek intelektual dan kematangan emosi kini menjadi keutamaan berbanding rupa paras semata-mata.

Bagi Ira, kebolehan seseorang lelaki dalam mengendalikan tekanan dan isu berbangkit adalah kunci utama kepada kestabilan sesebuah hubungan.

Jelasnya, dia mendambakan sosok lelaki yang mampu menjadi nakhoda yang tenang apabila berdepan dengan sebarang badai komunikasi.

“Kriteria utama saya sekarang adalah dia mestilah seorang individu yang bijak dan mempunyai kemahiran tinggi dalam mengawal situasi, terutamanya apabila melibatkan konflik.

“Bagi saya, kebijaksanaan dalam menguruskan masalah adalah perkara yang sangat penting dalam sesebuah perhubungan,” katanya kepada URTV.

Menyentuh mengenai rupa paras, Ira menjelaskan bahawa dia tidak meletakkan piawaian yang terlalu tinggi, memadai dengan penampilan yang disenangi.

Namun, dia secara terbuka mengakui lebih tertarik kepada lelaki yang bukan daripada latar belakang industri hiburan, tetapi mempunyai kedudukan atau status tertentu.

Ira mendedahkan bahawa dia belum lagi bertemu dengan calon yang benar-benar menepati citarasa untuk dijadikan teman hidup yang sah.

Meskipun tidak menafikan ada pihak yang cuba mendekati, dia memilih untuk tidak terlalu memikirkan soal tersebut buat masa ini.

“Kalau ditanya soal individu yang mahu serius untuk menjadikan saya isteri, setakat ini memang belum ada.

“Namun, kalau sekadar ingin berkenalan itu memang wujud. Saya tidak mahu dianggap seperti mengangkat bakul sendiri jika mengatakan ramai yang cuba mendekat, jadi cukuplah saya katakan ada sahaja pihak yang bertanya khabar.

“Fokus saya sekarang bukan ke arah itu lagi, namun saya tidak sesekali menolak ketentuan takdir,” jelasnya lagi.

Mengulas mengenai persepsi masyarakat terhadap kegagalan rumah tangganya sebelum ini, Ira menegaskan bahawa dia tidak pernah berasa serik untuk kembali bergelar isteri.

Bagaimanapun, dia kini jauh lebih skeptikal dan teliti sebelum memberikan kepercayaan kepada mana-mana individu.

Baginya, setiap kegagalan memberikan pengajaran besar untuk dia lebih peka terhadap latar belakang calon pasangan, sesuatu yang mungkin terlepas pandang pada waktu dahulu.

“Saya tidak serik kerana percaya setiap manusia mempunyai karakter yang berbeza. Tidak adil untuk menyama-ratakan semua lelaki.

“Cuma, untuk masa sekarang, saya akan lebih berwaspada dan meneliti latar belakang seseorang terlebih dahulu.

“Jika dahulu saya mungkin berpendapat kekurangan pasangan boleh diterima seadanya, kini saya lebih realistik.

“Segala keputusan perlu dipertimbangkan dengan sedalam-dalamnya,” tambahnya.

Untuk rekod, nama Ira pernah menjadi tumpuan hangat media apabila dia mendirikan rumah tangga dengan pengarah sensasi, Syamsul Yusof pada 6 Januari 2023 di Selatan Thailand.

Perkahwinan tersebut kemudiannya didaftarkan secara sah di Perlis pada 20 Januari tahun yang sama.

Namun, jodoh mereka tidak berpanjangan apabila pasangan tersebut disahkan bercerai pada 5 September 2024.

Sebelum perkahwinan tersebut, Syamsul juga pernah mendirikan rumah tangga dengan aktres Puteri Sarah Liyana namun berpisah pada Jun 2023.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Amad pindah ke Kuantan… Saerah sedih, tak tidur malam

Hati ibu mana tidak sedih apabila terpaksa berpisah dengan anak. Ibu serta pengurus penyanyi remaja, Amad Dayyan iaitu Saerah Taruddin...

More Articles Like This