LIMA lelaki ditahan direman selepas dipercayai ada kaitan dengan penemuan mayat di tepi jalan di sebuah stesen minyak dekat Subang Jaya pada 12.55 tengah malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, mayat tersebut ditemui selepas pihaknya menerima laporan memaklumkan sebuah kereta diletakkan di tepi jalan dalam keadaan berkunci yang berbau mayat.
Beliau berkata, polis tiba di lokasi mendapati mayat seorang lelaki ditemui terbaring di tempat duduk belakang dan ditutup dengan sehelai jaket.
“Siasatan mendapati mangsa merupakan seorang lelaki Melayu dan kes ini bersabit satu laporan polis Bukit Jalil yang disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan penemuan mayat tersebut.
Wan Azlan berkata, lima lelaki Melayu berusia 27 hinga 33 tahun dengan rekod jenayah lampau telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Kesemua direman bersabit kes di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan selama empat hari sehingga Ahad,” ujarnya.
Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, empat lelaki ditahan selepas melarikan mangsa berusia 25 tahun di Kampung Muhibbah, Bukit Jalil pada pagi Isnin lalu.
Menurut bapa mangsa, dia mendakwa anaknya dilarikan sekumpulan lelaki dikenali.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil ke balai polis atau menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Che Rosli Che Embong di talian 016-843 7878.

