SELEPAS sekian lama mendiamkan diri, akhirnya penyanyi popular era 80-an, Datuk ND Lala membuka mulut mengenai konflik rumah tangganya bersama bekas isteri, Fauziah Sarman sejak beberapa bulan lalu.
ND Lala,62, turut mengakui sudah bernikah dengan Siti Munirah Abdul Ghani selain turut mengakui telah didesak oleh Fauziah untuk menceraikannya.
“Setelah sekian lama saya mendiamkan diri terhadap usaha dibuat untuk memalukan saya, menjatuhkan maruah saya dan keluarga saya, reputasi serta kerjaya saya, hari ini saya tampil untuk memperkatakan status perkahwinan saya.
“Memang benar saya telah menikah dengan Siti Munirah Abdul Ghani, memang benar bekas isteri saya tidak bersetuju berpoligami, memang benar telah banyak kali bekas isteri saya mengugut, mendesak, meminta saya menceraikan.
“Memang benar. Ini bukan satu keputusan mudah setelah 34 tahun kami bernikah dan dianugerahkan empat cahaya mata. Memang benar saya telah menunaikan permintaan bekas isteri saya dan melafazkan cerai terhadapnya pada 2 Ogos 2023, di Masjid Arrahman Bangsar KL, memfailkannya di mahkamah pada 7 Ogos 2023 dan memberi audio lafaz cerai pada 8 Ogos 2023 melalui aplikasi WhatsApp,” katanya.
ND Lala yang juga bapa kepada penyanyi Shila Amzah itu membuat kenyataan tersebut menerusi video yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Sementara itu, ND Lala turut memberitahu bahawa mahkamah telah mengesahkan perceraian kami pada 5 September lalu.
Malah, ND Lala turut enggan mengulas faktor perceraian tersebut berlaku kerana menganggap ia terlalu peribadi untuk dikongsikan kepada umum.
“Apabila kita menggunakan pertimbangan akal bukan emosi kita akan faham, sekiranya berlaku pergaduhan suami isteri dan tidak dapat diselesaikan platform yang betul untuk mengadu atau dirujuk adalah pejabat agama dan keabsahannya diputuskan oleh mahkamah.
“Tiada keperluan untuk kita mengadu kepada orang lain, kawan-kawan pasangan kita dan lebih buruk apabila kita mengadu meluah perasaan di media sosial. Tiada keperluan berbuat demikian.
“Netizen tidak boleh berikan solusi, mereka tak dapat selesaikan masalah rumah tangga. Kita cari solusi bukan sensasi, kecuali kita nak publisiti untuk meraih simpati.
“Tapi tak apalah, apa yang terjadi telah terjadi. Saya percaya Rukun Iman, in bahagian saya, saya reda. Saya percaya perancangan Allah lebih baik, pasti ada kebaikan untuk kami berdua pada masa akan datang.
“Hakikatnya bermula 2 Ogos 2023, perkahwinan kami telah berakhir, jadi untuk itu tiada keperluan lagi untuk berbicara perkahwinan kami kerana kami bukan lagi suami isteri,” jelasnya.
Pada April lalu, Fauziah pernah mendedahkan wajah seorang wanita dikenali Siti Munirah Abd Ghani di Instagram mendakwa itu adalah penyondol rumah tangganya dan merupakan isteri kedua ND Lala.
la berikutan, timbul spekulasi sebelum itu mengatakan ND Lala kononnya berkahwin baharu dengan wanita yang jauh lebih muda daripada Fauziah dan juga bekas rakan sekolah anaknya, Shila Amzah.
ND Lala dan Fauziah mendirikan rumah tangga mereka pada 1989 dan hasil perkongsian hidup itu dikurniakan empat anak iaitu Shila, 33; Amir Syafiq, 30; Amir Syahir, 28; dan Nur Syuhada, 25.

