Ekonomi Madani, NIMP 2030, Laporan Separuh Penggal RMK12 dan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024

Dari Penulis

1.​Ekonomi Madani

Kami di Majlis Perundingan Melayu (MPM) sudah randaukan agenda Ekonomi Madani yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Kesepuluh pada 8 Ogos 2023 lepas.

Ini bagus, kerana ia adalah dokumen yang membayangkan ada kesinambungan kepada dasar-dasar sebelumnya yang direncanakan kerajaan. Bermula sejak awal 1970-an lagi apabila Tun Razak melancarkan DEB 1970 yang mula dilaksanakan dalam RMK-2 1971-1975, itulah intipati terdahulu yang diteruskan dalam merencanakan Ekonomi Madani.

Bezanya hanyalah beberapa penjenamaan bagi dikaitkan dengan legasi pemimpin semasa. Banyak diselitkan jargon semasa yang menampakkan yang Ekonomi Madani ini adalah satu inisiatif yang kontemporari.

Tidak dinafikan ada banyak penambahbaikan sesuai dengan suasana, kemajuan dan prioriti semasa, atas nama kepentingan rakyat yang lebih diutamakan.

Syabas diucapkan kepada Yang Berhormat Menteri Ekonomi yang dapat meyakinkan Perdana Menteri untuk ditampilkan agenda Ekonomi Madani ini, yang kemudiannya disambut di peringkat kementerian dan agensi, untuk ia diterjemah dan dilaksanakan.

Apa pun, kebimbangan utama kami dalam kalangan pemain industri yang bernaung di MPM ialah kemampuan dan kecekapan dalam sistem penyampaian awam dan korporat. Ia semakin acap kali cetuskan kegusaran kami. Hendaknya Perdana Menteri pasang-pasanglah telinga mendengar kegusaran ini.

  1. NIMP2030

MPM telah membincangkan mengenainya semasa Randau ke-23 pada 6 September 2023. Ia juga satu dokumen yang baik, sebagai satu usaha penambahbaikan kepada IMP sebelumnya.

Yang mengelirukan ialah penggunaan istilah “industri” kepada dokumen itu, walhal kandungannya lebih kepada pelan induk sektor pembuatan konvensional.

Kami faham, jika pihak MITI hendak kekalkan penggunaan istilah “industri” ia akan “menceroboh” sempadan beberapa kementerian yang menjuarai bidang industri masing-masing. Oleh kerana MITI belum bersedia melakukan pencerobohan sempadan lain-lain kementerian, maka beberapa bidang industri, termasuk beberapa ekonomi baharu, tidak tersenarai dalam NIMP2030 itu.

Contoh 1: Industri muzik, hiburan dan perfileman.

Tidakkah industri ini merupakan industri yang vibran? Lihat bagaimana Korea berjaya menakluki dunia menerusi bidang industri ini sebagai ekonomi baharu. Lihat sajalah bagaimana inisiatif K-Pop sudah mendominasi industri muzik dan hiburan dunia. Begitu juga sektor perfileman dan animasi mereka.

Pemain industri kita dalam bidang ini pun tidak kurang kekuatannya. Malangnya ia tidak langsung dicuit maka tidaklah ia tersenarai dalam NIMP2030.

Contoh 2: Industri sukan dan rekreasi.

Di peringkat dunia, penganjuran dan pengurusan EPL misalnya, meraih berbilion dolar Amerika Syarikat setiap tahun hasil kutipan royalti siaran lagsung yang masyarakat seluruh dunia taja. Ratusan jaguh sukan dunia kita bergelar jutawan, malah ramai bergelar billionair.

Beberapa orang jaguh sukan negara juga termasuk dalam golongan ini.

Bukan itu saja, banyak bisnes di sepanjang rantaian nilai industri ini juga turut berkembang seiringan dengan kemajuan dunia sukan. Hatta, pembangunan sesuatu cabang ekonomi itu jika hendak diklassifikasikan sebagai industri, hendaklah ia dilihat dari perspektif keseluruhan ekosistem yang menjadikan ia sebagai satu industri, bukan menjenamakan aktiviti pembuatan sebagai satu industri.

Contoh 3: Industri fesyen, hiasan, aksesori dan kecantikan

Walaupun negara tidak lahirkan tetapi mereka ini kini terkenal di seluruh dunia sama ada sebagai pereka fesyen atau pengeluar barangan fesyen berjenama. Jimmy Choo, Padini, Selangor Pewter dan banyak lagi adalah di antaranya. Sumbangan mereka kepada ekonomi negara teramat signifikan. Akan tetapi di mana kedudukan mereka dalam NIMP2030.

Banyak lagi contoh lain yang boleh diberikan. Memadailah dengan tiga gambaran itu, sekadar berkongsi pemahaman berbeza di antara kami, pemain industri di luar ini, dengan mereka dalam kalangan penggubal dasar di peringkat kementerian.

Pada hemat kami, jika pihak MITI hendak mengekalkan istilah “industri”, boleh bila semua agensi di bawahnya berperanan sebagai industrial enablers dan pemangkin kepada pembangunan semua industri yang berada di bawah tadbirurus di pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri. Fungsi-fungsi yang ditawarkan itu difahami, dikehendaki malah ditagih oleh semua kementerian, agensi dan kerajaan negeri yang berkaitan.

  1. Laporan Separuh Penggal RMK12

Sekali lagi terima kasih daripada MPM kepada kegigihan Menteri Ekonomi bersama rakan-rakan beliau di EPU yang menyediakan laporan itu.

Kita semua tidak berkesempatan meneliti laporan separuh penggal RMK11, malah laporan penuh RMK11. Maka kita tidak mengetahui sejauh mana pencapaian dalam penggal itu.
Hatta, bila berpeluang meneliti Laporan Separuh Penggal RMK12, kami amat teruja.

Kami cuba meneliti laporan setebal lebih 100 halaman itu untuk mengetahui prestasi dan pencapaian kita semua dalam separuh masa pertama penggal RMK12. Ini kerana kita semua sedia maklum, separuh masa pertama penggal RMK12 itu terlalu celaru suasana politik ketika itu, maka, kita nak tahu sejauh mana kecelaruan politik telah menjejaskan keberkesanan sistem penyampaian jentera kerajaan, awam dan korporat. Bukan nak cari salah sesiapa, sekadar nak tahu terutamanya, impak daripada kekerapan pertukaran kerajaan dan impak pasca wabak Covid-19, kepada prestasi ekonomi negara.

Realitinya, laporan yang dibentangkan itu tidak banyak menyentuh pencapaian dan apakah gap yang terbentuk, di antara apa yang direncanakan dengan apa yang dicapai. Jika gap itu diketahui maka, penambahbaikan wajar dilipatgandakan dalam separuh penggal kedua RMK12 ini.

Sebaliknya, laporan ini lebih banyak memuatkan perancangan baru oleh Kerajaan Madani ini.

Apa yang ramai di a⁸ntara kami fahami, diawal era 1980 dulu, Laporan Separuh Penggal RMK ialah masanya untuk ICU dan SERU masing-masing berperanan, menyatakan apa yang berlaku hasil dari perancangan 5- tahun yang digubal oleh EPU. ICU (Implementation Coordination Unit) membentangkan perihalnya dari perspektif perlaksanaan manakala SERU (Socio-economic Research Unit) pula membentangkan antara lainnya kajian impak dan kajian sosio ekonomi daripada pelan pembangunan yang dilaksanakan.

Kami di MPM menaruh harapan hendaknya begitulah cerita yang disampaikan semasa pembentangan laporan tersebut.

  1. Kongres Ekonomi Bumiputera 2024.

Tun Razak telah mulakan penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) seawal tahun 1965. Ketika itu beliau adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Negara & Luar Bandar. Kerajaan ketika itu menganjurkan KEB 1 1965 pada 3-5 Jun 1965. Banyak resolusi dihasilkan. Empat belas (14) resolusi utama Kongres itu dikongreskan semula oleh MPM di KEB 1 1965-2020 pada 1 Oktobef 2020.

Di antara dua KEB itu beberapa lagi KEB dianjurkan termasuk oleh MPM pada 29 Mei 2010 di PWTC, apabila MPM bersama puluhan NGO Bumiputera mendapati MBE 2010 cuba berbalik kepada model ekonomi pasaran terbuka.

Bagi menepis desakan amat kuat NGO, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak tampil dengan beberapa inisiatif yang sebenarnya sekadar inisiatif berbentuk kosmetik.

Sebaik saja Kerajaan Najib tumbang, Kerajaan 22 bulan Tun Mahathir Mohamad di era Pakatan Harapan, tampil pula dengan satu lagi inisiatif kosmetik, menerusi penganjuran Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara 2018 (KBN 2018). MPM diberi pentas utama untuk menyampaikan model saranannya, bertemakan Kemakmuran Negara Diterajui Bumiputera. Penyudahnya KBN2018 sekadar menjadi pentas untuk Mahathir berleter mempersendakan bumiputera sebagai bangsa yang pemalas.

Bila Kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin ambil alih, MPM menganjurkan KEB 1 1965-2020. Misi kami ialah untuk kerajaan angkat dan perkasakan semula paling tidak 14 resolusi utama yang dihasilkan semasa KEB 1 1965, kerana banyak daripadanya gagal mencapai matlamat yang digariskan. Semasa melakukan Perasmian Penutupan Kongres itu, Muhyiddin arahkan dengan segera pembentukan Jawatan Kuasa Bersama Kerajaan-MPM bagi perhalusi dan mengangkat untuk tindakan beliau, satu per satu agenda bumiputera, untuk diperakui dan dilaksanakan. Habuk pun tiada. MPM kena herdik ada lah.

Kerajaan Datuk Srri Ismail Sabri Yaakub ada berjanji untuk meneruskan apa yang Muhyiddin gagal penuhi. Akan tetapi umur kerajaan beliau terlalu singkat, maka tiadalah dalam legasi kepimpinannya agenda ekonomi bumiputera.

Kini tiba giliran Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula tampil untuk menjadi juara agenda ekonomi bumiputera, dengan pengumuman oleh beliau sendiri, untuk menganjurkan KEB 2024.

Kami di MPM nak melompat keriangan tidak, nak mencebikkan bibir pun tidak. Sebabnya, kami belum tahu apa isi kandungan KEB 2024 itu, apa komitmen beliau selaku Perdana Menteri dan apa pula sambutan dalam kalangan barisan Kabinet serta jentera kerajaannya.

Yang lepas-lepas, agenda ekonomi bumiputera tidak lebih daripada sebagai momokan.

Apa pun, kami tetap optimistik, sebab pemain industri yang bersekutu di MPM, kami sudah bina budaya swatadbirurus yang kental, untuk kami menjadi pemain industri yang kebal dan mampan, setanding dengan lain-lain pemain industri dalam dan luar negara. Jika kami tidak sampai ke tahap itu nescaya kami sudah tiada lagi dalam kalangan pemain industri yang ada.

Yang masih timbul itu sabut, yang tenggelam itu tidak semestinya batu. Yang sabut itu sudah lama move on.

Dalam membicarakan empat perkara ini bukan niat kami nak menunjuk pandai. Jauh sekali nak ajar kerajaan apa yang patut mereka buat. Kami sekadar bersuara memberikan pandangan, sebagai pemain industri yang masih ibarat sabut itu.

Selamat Hari Malaysia

Penulis adalah
Setiausaha Agung MPM

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Wanita ditahan selepas benarkan anak keluar kepala melalui sunroof

SEORANG wanita ditahan selepas membenarkan dua anak perempuannya mengeluarkan kepala melalui bumbung bukaan atau sunroof ketika kereta sedang bergerak,...

More Articles Like This