Kisah ini berlaku sekitar tahun 1870-an. Lucy Ann Perkins merupakan seorang guru yang mengajar di sebuah sekolah di Newburyports dalam daerah Massachussets, di Amerika Syarikat.
Lucy tidak tahu, ada sesuatu yang ‘menghuni’ sekolah itu. Para penduduk sekitar dan guru-guru yang mengajar di situ sudah sedia maklum dengan kehadiran ‘seseorang’. Namun, tidak ada seorang pun yang membuka mulut sewaktu Lucy mula mengajar.
Pernah suatu ketika semasa Lucy mengajar di dalam kelas, kedengaran pintu bilik darjah diketuk bertalu-talu. Gegarannya terlalu kuat sehingga dinding bilik itu terasa seperti digoncang.
Menyangka mungkin ada sesuatu yang buruk sedang terjadi di luar, Lucy segera membuka pintu. Sebaik dibuka, tiada sesiapa yang berada di luar bilik darjah. Malah, laluan kaki lima juga kosong. Mana mungkin ada manusia yang boleh menggegar pintu kelas kemudian berlari sembunyikan diri dalam masa yang singkat.
Dalam kejadian lain, loceng yang elok terletak di atas meja guru berbunyi tanpa henti padahal tiada sesiapa yang menyentuhnya. Loceng itu kemudian terapung di udara sebelum dihempaskan ke lantai. Sama seperti kejadian sebelumnya, tiada sesiapa dilihat memegang loceng tersebut.
Angin kencang juga sering bertiup dalam kawasan sekolah walaupun pada ketika itu cuaca sebenarnya baik-baik sahaja. Biasan cahaya terang yang sering memenuhi bangunan sekolah juga boleh dilihat oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan sekolah tersebut.
Adakah kejadian itu hanya menimpa Lucy seorang? Tidak!
Selain para guru, penjaga dan tukang cuci yang bekerja di sekolah itu juga sering diganggu. Sampai satu tahap, mereka jadi takut untuk masuk dan membersihkan kawasan sekolah. Bukan itu saja, ramai pelajar sering tidak hadir ke sekolah kerana takutkan gangguan yang tidak henti-henti muncul sewaktu proses pembelajaran berlangsung.
Apa puncanya?
Gangguan demi gangguan yang dialami Lucy membuatkan dia kadangkala takut untuk ke sekolah. Namun, memikirkan tanggungjawabnya sebagai seorang guru, dia sedaya upaya cuba menepis rasa takutnya.
Penduduk sekitar yang tidak tahan dengan pelbagai gangguan hingga menyebabkan anak mereka takut ke sekolah mula menjalankan siasatan. Ada yang mendakwa, salah seorang penduduk telah merasuah seorang kanak-kanak lelaki untuk mengaku bersalah atas semua kekacauan yang telah terjadi di sekolah tersebut. Ini semua bagi menutup misteri yang masih gagal dirungkaikan.
Walaupun kanak-kanak bernama Amos Currier telah mengaku bersalah, kejadian-kejadian misteri tetap melanda sekolah itu. Ini membuat penduduk tidak mempercayai pengakuan Amos.

Kemudian, beberapa penduduk yang telah lama menetap di kawasan tersebut akhirnya menceritakan kejadian sebenar. Khabarnya, kejadian misteri di sekolah itu bermula pada tahun 1860. Seorang kanak-kanak telah melakukan satu kesalahan yang tidak dinyatakan. Sebagai hukuman, kanak-kanak itu telah dipukul dengan teruk sebelum dikurung dalam bilik bawah tanah di sekolah itu.
Keesokan paginya, didapati kanak-kanak itu telah meninggal dunia. Berkemungkinan akibat cedera teruk dipukul. Kerana kes itu, sekolah Newburyports telah ditutup untuk beberapa ketika bagi meredakan keadaan. Beberapa tahun kemudian, sekolah itu dibaiki dan dibuka seperti biasa.
Sejak pembukaan semula sekolah itu, satu persatu kejadian misteri mula menghantui para guru dan pelajar. Gangguan itu dikaitkan dengan roh kanak-kanak tersebut. Dikatakan, rohnya tidak tenang dan mahu mencari keadilan.
Ramai guru yang mengajar di situ tidak mampu bertahan lama. Mereka tidak sanggup terus diganggu oleh roh kanak-kanak tersebut.
Begitu juga dengan Lucy. Tidak betah dengan gangguan yang dihadapi, dia akhirnya bertindak meninggalkan sekolah itu. Tidak lama selepas pemergian Lucy, sekolah itu telah dirobohkan dan akhirnya dibina semula sebagai rumah persendirian.
Menurut cerita setempat, setelah dirobohkan, tiada lagi gangguan yang berlaku kepada pemilik rumah di situ. Mungkin roh kanak-kanak itu hanya mahu membalas dendam kepada golongan guru yang menghukumnya.
____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

