PERTUBUHAN Hal Ehwal Wanita & Keluarga Malaysia (HAWA Malaysia) menyedari betapa pentingnya memupuk minat dan budaya berkenaan ilmu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada masyarakat hari ini selari dengan kepantasan perkembangan STEM dalam memudahcara urusan setiap insan.
Atas kesedaran ini, HAWA Malaysia melalui Kumpulan Focus HAWA Tech dan HAWA Melaka telah menganjurkan Seminar Pembudayaan STEM Bagi Memperkasa Masyarakat Madani pada 25 September 2023 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Program ini telah dianjurkan sempena Karnival STEM Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada 25 hingga 27 September 2031.
HAWA menyedari betapa masyarakat mesti terus dimaklumi dan diberikan lebih banyak maklumat berkenaan STEM untuk memupuk minat generasi muda menguasai STEM kerana STEM merupakan teras pemikiran tinggi yang diperlukan untuk memacu perkembangan negara.
HAWA berharap perkongsian dalam seminar ini oleh pemain industri yang cukup berpengalaman, Mr Hugh Oldfield, Ketua Pengarah Eksekutif Armor Australia, dapat memberi sudut pandang yang mampu mencetus minat masyarakat membudayakan STEM.
Pengerusi HAWA Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jali berkata: ”HAWA berpendirian pembudayaan STEM tidak boleh digerakkan secara eksklusif oleh satu pihak sahaja untuk kita mendapat impak yang holistik dan menepati matlamat.
Kerjasama pintar dengan pemain-pemain industri, institusi-institusi pengajian, agensi-agensi kerajaan dan banyak lagi pihak lain harus diterokai dan dijadikan satu inisiatif untuk kita terus mengoptimumkan potensi-potensi STEM untuk kemakmuran negara dalam semua bidang.”
”Masyarakat perlu juga dilengkapi dengan pengetahuan dan maklumat terkini berkenaan ancaman terhadap diri dan harta yang boleh timbul atas kerakusan pihakpihak menyalahgunakan kemudahan-kemudahan yang tercipta dari perkembangan STEM,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
HAWA Malaysia beriltizam untuk terus menjadi konduit dua hala penyampaian isu dan solusi di antara masyarakat dan pihak berkuasa untuk membantu mengekang ancaman-ancaman nyata kepada masyarakat akibat penyalahgunaan kemudahan teknologi.”
Berlanjutan dari kesedaran ini, HAWA telah menjemput Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, untuk berkongsi sudut pandang berkenaan membendung jenayah siber, yang mana sesi ini turut disertai oleh ahli panel Pengarah Pusat STEM, Universiti Malaya, Ir Dr Mas Sahidayana Mokhtar dan Profesor Madya Dr Sharifah Sakinah Syed Ahmad dari UTeM selaku moderator.
Dalam majlis perasmian penutup Seminar Pembudayaan STEM Bagi Memperkasa Masyarakat Madani yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hassan, satu dokumen Inisiatif Kerjasama Perkongsian Pintar STEM dan Keselamatan telah ditandatangani dan dimeterai di antara HAWA Melaka, Pusat STEM UTeM, Pusat STEM Universiti Malaya dan Protection Technologies (M) Sdn Bhd.
Melalui kerjasama ini, pihak-pihak yang terlibat telah mengikrarkan komitmen untuk meneruskan inisiatif-inisiatif pembudayaan STEM secara berkala dengan kesedaran berkenaan keselamatan kepada semua peringkat masyarakat.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

