ENAM tahun memegang status bapa tunggal kepada seorang anak perempuan, pemain drum kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun sehingga kini masih belum terfikir untuk berkahwin lagi.
Menurut Fendi,33, dia kini mahu memberikan tumpuan sepenuhnya membesarkan puteri tunggalnya, Nur Azalea Zafirah, 8, yang merupakan pelajar di Sekolah Rendah Pendidikan Khas Jalan Batu, Kuala Lumpur.
“Setiap hari saya akan hantart Azalea ke sekolah menaiki perkhidmatan e-hailing atau teksi. Kos pergi dan balik sehari ialah RM30 sebab jarak rumah dengan sekolah memang jauh…itu pun jika jalan tidak sesak. Saya pernah buat pengiraan, saya membelanjakan sekitar RM1,500 untuk kos pengangkutan selama sebulan.
“Saya tinggal di Pusat Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Tun Razak, sekolah anak pula di Kuala Lumpur. Pengangkutan adalah kos yang paling mahal untuk hantar anak sekolah dan pergi busking. Anak saya sukar nak bergerak sendiri kerana cacat penglihatan.
“Memang saya kena hantar pergi sekolah khas itu. Alhamdulillah…ada perubahan sejak dia bersekolah di sana,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu dan muzik video terbaru Caliph Buskers berjudul Inspirasi di sebuah cafe, di sini, hari ini.
Kongsi Fendy lagi, dia gembira apabila Azalea kini sudah pandai mengeja, membaca braille selain turut menyertai Caliph Buskers membuat persembahan busking.
“Kalau bawa Azalea pergi busking, orang akan banyak beri duit dekat tangan dia. Di sekolah pun dia sudah mula buat persembahan.
“Kadangkala saya terpaksa bawa Azalea ikut pergi busking sehingga tengah malam. Sampai rumah pun dah pukul 1 pagi. Bila nak kejut dia bangun pagi pergi sekolah pukul 6 pagi, agak sukar sedikit.
“Kadangkala, pagi nak pergi sekolah itulah saya baru nak seterika baju sekolah anak sebab malam tak sempat. Itulah antara cabaran bergelar bapa tunggal.
“Walaupun penat, saya tetap akan hantar dia pergi sekolah,” luahnya.
Sementara itu, Fendi mendedahkan dirinya belum yakin untuk menggalas tangungjawab sebagai suami sekaligus menamatkan zaman dudanya.
“Memang tiada siapa-siapa (teman wanita) . Saya tidaklah memilih sangat. Pada saya mudah sahaja, mana-mana wanita yang sayang Nur Azalea, saya akan terima.
“Dia kena sayang anak saya dulu. Kalau dia terima anak saya, Insya-Allah, saya boleh terima dia,” ulasnya.
Untuk info, Fendy berkahwin dengan Nadira Rubina pada 3 Mei 2014 dan bercerai pada 2018.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

