WANITA kali ini ingin berkongsi panduan melancong ke luar negara, khususnya bagi mereka yang merancang untuk bercuti seorang diri supaya persiapan dapat dibuat dengan lebih lancar dan percutian dapat dinikmati dengan lebih selamat.
SENARAI SEMAK SEBELUM MELANCONG
VISA & VAKSINASI
Semak dengan kedutaan negara yang anda ingin lawati sama ada visa atau vaksinasi khas diperlukan untuk memasuki negara mereka. Sekiranya anda menempah tiket secara ‘online’, maklumat ini tidak diberikan dengan jelas.
Jenis visa bergantung kepada status kewarganegaraan, tujuan lawatan dan tempoh anda ingin berada di negara tersebut. Proses permohonan dan proses pengeluaran visa mungkin berbeza bagi setiap negara.
Rancang perjalanan anda dengan baik agar tidak terkandas di lapangan terbang.

HOTEL
Bagi yang melancong seorang diri, sebaiknya menginap di hotel bertaraf tiga bintang ke atas yang terletak di kawasan strategik dan mempunyai ekses mudah kepada sistem pengangkutan awam, tempat makan, Internet serta selamat untuk wanita atau keluarga. Tidak disarankan untuk menginap di hostel kerana tahap sekuriti di tempat seperti ini biasanya tidak begitu terjamin.
Forum Internet seperti ‘www.tripadvisor.com’ berguna sebagai bahan rujukan untuk membaca komen pelancong dari seluruh dunia yang pernah melawat negara tersebut dan menginap di hotel yang anda ingin tempah.

PENGANGKUTAN AWAM
Dapatkan maklumat daripada kawan-kawan yang pernah melawat negara tersebut berhubung sistem pengangkutan awam yang disediakan. Ada negara yang mewajibkan bayaran ‘tip’ atau upah bagi setiap servis termasuk perkhidmatan teksi.
Ini adalah untuk memastikan anda tidak ditipu semasa berada di negara tersebut.

WANG BELANJA / MATA WANG ASING
Sebaiknya tukar wang di tempat sendiri dan bukan di lapangan terbang atau di negara yang dilawati kerana kadar pertukaran mata wang asing di kedua-dua lokasi tersebut biasanya jauh lebih tinggi.
Bawa wang tunai yang cukup untuk belanja makan minum, tambang pengangkutan awam dan perbelanjaan kecemasan. Jika anda hendak membeli-belah, bawa wang tunai lebih untuk tujuan ini pada kadar yang minimum dan peruntukan baki perbelanjaan menggunakan kad kredit atau kad debit.
Jangan lupa menghubungi pihak bank untuk mengaktifkan penggunaan kad kredit atau kad debit di luar negara.

LAIN-LAIN
Dapatkan maklumat tentang jenis adapter dan voltan peralatan elektrik yang boleh digunakan di negara tersebut. Ini adalah untuk memastikan komputer atau telefon, sekiranya mempunyai perkhidmatan ‘roaming’ boleh digunakan untuk berkomunikasi dengan keluarga di Malaysia sekiranya perlu.
Maklumat penting lain seperti cuaca, kod panggilan antarabangsa, alamat kedutaan Malaysia dan waktu operasi perniagaan juga boleh diperolehi dengan mudah dari Internet.
Jika anda mempunyai alahan atau preskripsi ubat yang khusus, jangan lupa untuk membawa stok yang cukup kerana ubat yang sama mungkin tidak boleh diperolehi di negara tersebut.
Sesetengah negara seperti Amerika Syarikat tidak menawarkan perkhidmatan perubatan percuma kepada pelancong. Oleh itu, adalah wajar untuk mendapatkan insurans perubatan dari syarikat insurans di Malaysia bagi tempoh anda berada di luar negara untuk mengelakkan diri dari dinafikan rawatan atau dikenakan bil berpuluh ribu sekiranya ditimpa kemalangan.
Kongsi maklumat lengkap perjalanan anda dengan ahli keluarga yang terdekat sebelum berangkat supaya mereka dapat menganggar waktu kepulangan anda ke Malaysia.


