Tingkat ‘dengan nama Allah’ (Bismillah) atau ‘beserta nama Allah’ (ma’a ismihi) tersebut boleh diteruskan untuk sampai ke tingkat yang lebih tinggi lagi iaitu tingkat ‘dengan Allah’ (billah) atau ‘berserta Allah’ (ma’allahi). Inilah yang disebutkan dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud,
“Aku dalam keyakinan hamba Ku (hamba-Ku itu sentiasa sedar terasa) dengan Aku…”.
Hadis qudsi yang lain bermaksud,
“…Apabila Aku telah kasih terhadap hamba-Ku (yang telah melakukan yang difardukan dan membanyakkan amalan yang disunatkan) maka Aku jadi pendengarannya yang digunakan untuk mendengar, Aku jadi penglihatannya yang digunakan untuk melihat, Aku jadi tangannya yang digunakan untuk melakukan sesuatu pekerjaan, Aku jadi kakinya yang digunakan untuk berjalan…”
Tingkat billahi atau ma’allahi ini diistilahkan juga dengan muraqabah ma’iyyah yang didasarkan pada firman Allah,
“..dan Dia (Allah) beserta kamu, di mana-mana pun kamu berada”.
Seorang mukmin yang berada dalam hakikat muraqabah ma’iyyah dianggap sebagai manusia yang muwahhid (orang yang benar-benar berjaya mengesakan Allah). Bila seseorang sampai di tingkat billahi atau ma’allah, dia telah dikurniakan Allah pengalaman fana’.
Artikel berkaitan: Siri 1: Hebat dan luarbiasa kalimah basmalah menurut ahli sufi
Seseorang yang pernah mendapat pengalaman fana’ bermakna dia telah sampai di tingkat ihsan sebagaimana yang disebutkan dalam hadis nabi,
“Ihsan ialah anda beribadat kepada Allah seolah-olah anda melihat-Nya, jika anda tidak (lagi seolah-olah) melihat-Nya, sesungguhnya (anda berasa) Allah melihat anda”.
Menurut al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya, Jami’ul-Ulum Wal-Hikam, apabila seseorang telah sampai di tingkat ihsan sepenuhnya seperti yang tersebut dalam hadis, maka orang tersebut telah dikurniakan al-ma’rifah dan sifat kehambaan yang sempurna. Orang tersebut digelar al-‘arif al-kamil atau al-insan al-kamil.
Uzlah dan khalwat
Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Jawahir al-Quran, menetapkan syarat bahawa semasa berzikir dan tafakur, hendaklah zahir dan batin orang yang berzikir itu benar-benar menghadap Allah semata-mata dan berpaling dari yang lain-Nya. Firman Allah dalam surah al-Muzzammil: 8
“Hendaklah kamu ingat dan sebut nama Tuhan kamu dan hendaklah kamu tabtil kepada-Nya dengan sebenar-benar tabtil“.
Tabtil kepada Allah bermaksud penumpuan zahir dan batin kepada-Nya semata-mata dan berpaling sepenuhnya daripada makhluk.
Untuk memudahkan tercapainya matlamat amalan berzikir, tafakur dan tabtil tersebut, maka sangat diutamakan supaya semuanya dilakukan dalam keadaan uzlah (menjauhkan dan mengasingkan diri dari kesibukan hidup) dan khalwat (mengurung diri di sesuatu tempat seperti bilik khas atau di surau, di masjid dan sebagainya untuk menumpukan mujahadah beribadat, berzikir dan tafakur.
Kesan zikir dan tafakkur pada zahir batin
Sudah pasti kesan zikir dan tafakur tersebut sangat hebat pada jasmani dan rohani. Hati berasa sangat takut kepada Allah dan seluruh jasad menggeletar, berasa sejuk dan lemah. Bagaimanapun, rasa takut dan menggeletar itu tidak akan berterusan, bahkan akan hilang dan bertukar menjadi sebaliknya.
Seluruh anggota menjadi lembut dan selesa, hati menjadi tenang. Fenomena ini ada disebutkan oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah al-Zumar: 23
“…Menggeletar seluruh anggota orang yang hatinya takutkan Tuhan mereka (Allah) ketika mendengar ayat al-Quran yang menyebut keagungan-Nya, kemudian seluruh anggota dan hati mereka menjadi lembut (selesa dan tenang) ketika mereka mengingati Allah (mengingati nama-nama dan sifat-sitat jamal-Nya).
Pengalaman Rasulullah s.a.w.
Ketika datang menemui Rasulullah s.a.w. buat kali pertama di Gua Hira’, Jibril a.s. menyampaikan lima ayat sahaja dari surah al-‘Alaq iaitu ayat 1-5. Jibril mengajarkan amalan yang terkandung di dalamnya, khususnya ayat 1 dan 3 yang memerintahkan Baginda s.a.w. membaca (menyebut dan mengingat) nama Tuhan pencipta segala kejadian (Allah al-Khaliq) dan Tuhan yang Maha Pemurah (Allah al-Akram).
Menurut Syaikh Ni’matullah al-Nakhjuwani, dalam kitab tafsirnya, Al-Fawatih al-Ghaibiyyah, Allah s.w.t memerintahkan Baginda s.a.w. menyebut dan mengingati terus menerus nama dan sifat-sifat Allah yang Maha Agung dan Maha Sempurna sehingga sampai ke tingkat bismillah (dengan nama Allah) Tuhan Maha Pencipta dan Maha Pemurah. Motif utamanya ialah untuk memperkasakan iman, meneguhkan aspek kerohanian sebagai persiapan memikul tugas yang amat rumit dan berat sebagai nabi dan rasul.
Rasulullah s.a.w. merasai pengalaman zahir dan batin yang luar biasa, hatinya benar-benar takutkan Allah, seluruh tubuhnya menggeletar serta kesejukan. Baginda s.a.w segera keluar dari gua hira’ kembali ke rumah.
Sesampainya di rumah, Baginda s.a.w. segera berbaring kerana rasa menggeletar dan lemah lalu diselimutkan oleh isterinya Khadijah r.ha. Sehari dua selepas itu, barulah keadaan Rasulullah s.a.w berubah, hatinya menjadi tenang, tubuh badannya menjadi stabil (sihat dan selesa), tidak menggeletar dan tidak lemah. Pengalaman Baginda Rasulullah s.a.w. tersebut adalah persis seperti yang Allah sebutkan dalam surah Az-Zumar ayat 23 yang telah disebutkan di atas.
Bimbingan Syeikh
Segala motif amalan zikir Allah…Allah…Allah yang tersebut di atas, akan dapat dicapai dengan sebaik-baiknya peringkat demi peringkat apabila ada bimbingan seorang syeikh murshid. Mengamalkannya tanpa bimbingan syeikh yang tersebut bermakna syaitanlah menjadi pembimbingnya.
Rasulullah s.a.w. dibimbing oleh Jibril a.s. sehingga tercapai seluruh motif amalan bismillah tersebut. Para sahabat pula dibimbing oleh Rasulullah s.a.w. sehingga mereka menjadi golongan ulul-albab. Adalah wajib mencari seorang syeikh murshid untuk tujuan tersebut. Wallahu a’lam
Oleh. Dr. Jahid Sidek al-Khalidi, Pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah
_______________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

