Beto Kusyairy ulas babak ‘buka baju’, sedih dengan apa yang berlaku terhadap pengarah prekuel Mat Kilau

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PELAKON Beto Kusyairy terbuka sekiranya diminta oleh pengarah untuk melakonkan adegan ‘buka baju’ demi menghidupkan watak yang dibawakan.

Ujar Beto,43, dia akur jika permintaan untuk membuka baju itu akan membuatkan jalan cerita sesebuah naskhah lebih tampak ‘hidup’ dan memberi kesan yang membekas kepada penonton.

Bagaimanapun, Beto meletakkan syarat sekiranya dia perlu berbuat demikian, babak tersebut tidak ditayangkan secara keterlaluan sehingga membangkitkan keghairahan penonton.

“Saya kena tengok pada skrip jika kena buka baju. Saya perlu tahu dan lihat keperluan babak tersebut. Kenapa perlu buka baju? Jika ada jawapan yang kukuh, saya tak kisah.

“Sebagai seorang aktor, selagi tak bercanggah dengan sensitiviti, saya okay. Tetapi kalau saja-saja nak ‘menjual’ atau umpan penonton saya tak nak.

“Mungkin boleh ambil pelakon lain yang lebih sesuai. Saya ni dahlah berwajah Jawa,” selorohnya kepada URTV.

Dalam pada itu, Beto sempat memberikan pendapat mengenai konflik yang berlaku terhadap syarikat produksi filem prekuel Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan iaitu Studio Kembara Sdn Bhd yang bertindak menyingkirkan pengarah naskhah terbabit, Areel Abu Bakar.’

Menurut Beto, adalah lebih bagus sekiranya syarikat produksi terbabit menjelaskan hal sebenar kepada individu yang terlibat agar tiada kesan negatif yang terpalit kepada pihak mereka.

“Keputusan untuk singkirkan pengarah itu harus lebih telus dan jelas supaya mereka yang terbabit boleh terima.

“Dalam hal ini, kita kena berlaku adil sebab kita baharu dengar sebelah pihak sahaja.

“Jangan singkirkan tanpa alasan yang kukuh. Bila tak ada sebab, orang akan nampak benda negatif pada produksi terbabit. Jadi mereka kena buat sesuatu.

“Sejujurnya saya sedih dengan apa yang berlaku kepada pengarah dan termasuklah filem itu sendiri.

“Tapi saya malas nak ambil tahu puncanya sebab saya dah ‘move on’. Tapi rasa terkilanlah sebab isu itu melibatkan rakan-rakan industri. Saya doakan yang terbaik buat mereka. Saya tak mahu tambah ‘minyak’,” ujarnya.

Terdahulu, penerbit filem itu, Shahruddin Mt Dali memaklumkan, penamatan kontrak Areel ketika penggambaran sedang berjalan dilakukan atas sebab tertentu, bukan masalah peribadi.

Shahruddin yang juga penulis skrip bagi naskhah berkenaan berkata, keputusan menggugurkan Areel dimuktamadkan ketika penggambaran memasuki hari ke-55.

Bagaimanapun, Shahruddin mengambil pendekatan tidak mengulas secara terperinci mengenai puncanya dan menegaskan ia sudah dipersetujui Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali.

Dalam perkembangan lain, Beto bakal muncul sebagai Kapten Gemilang dalam drama bersiri Super Wira yang akan ditayangkan di saluran Astro Ceria pada 23 Oktober ini.

“Saya tak pernah lakonkan watak sebegini. Dan saya memang teringin sangat nak berlakon di bawah arahan pengarah Ghaz Abu Bakar. Kita tahu hasil kerja Ghaz macam mana.

“Banyak elemen menarik dalam drama ini seperti kekeluargaan, heroism, perasaan bersalah, egoistik sebagai seorang bapa dan juga seorang adiwira,” kongsinya.

Selain Beto, drama Super Wira turut dibintangi Nadhir Nasar, Zizan Razak, Mira Filzah, Ezzaty Abdullah, Idan Aedan dan Arena Wan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fajar Noor buka lembaran baharu, Sementara, Selamanya jadi manifestasi kematangan emosi

SETELAH sekian lama dinanti, penyanyi yang sinonim dengan naskhah muzik yang menyentuh jiwa, Fajar Noor akhirnya kembali mengubat rindu...

More Articles Like This