Pada 40 ada doa, padanya juga ada pahala, ada juga yang terhukum di dalam lingkungan angka tersebut. Empat puluh juga ada pada jarak, padanya diletakan bilangan wajib dan tempoh kejadian manusia di dalam rahim.
Indahnya empat puluh itu tidak ada siapa yang dapat membaca apa hikmahnya? Antara banyak-banyak rahsia yang tersembunyi hanya 40 pada usia saja yang telah dapat dihuraikan.
Kajian terbaru di dalam neuroscience boleh membuatkan mereka yang berusia 40 tahun ke atas tersenyum bangga kerana merasakan itulah hebatnya menjadi orang berumur. Kajian itu menunjukkan bahawa otak orang yang sudah berumur lebih fleksibel dan mudah menyesuaikan dengan keadaan berbanding yang kebanyakan orang sangka.
Daripada kajian itu juga didapati bahawa otak kiri dan otak kanan boleh berintegrasi dengan lebih baik pada usia 40 tahun, ia menjadikan kita lebih kreatif.
Kalau boleh diumpamakan otak itu dengan hutan, otak manusia berusia 40 tahun umpama hutan tebal yang dahan-dahan pokoknya subur. Maksudnya otak orang yang telah berusia 40, lebih banyak pengetahuan dan cekap membuat penilaiannya.
Itulah sebabnya usia adalah satu kelebihan bagi mereka yang berkecimpung di dalam bidang perundangan, mengedit, perubatan, kejurulatihan dan pengurusan. Kemahiran itu tidak boleh diperoleh melalui pembelajaran
Itu pun hanya sebesar zarah saja daripada ilmu Allah yang Maha Luas, andai kata semua air lautan dijadikan tintanya untuk menulis tentang ilmu Allah belum tentu kita dapat mengusahakannya. Firman Allah di dalam surah al-Kahfi: 109,
“Katakanlah (wahai Muhammad) Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambah lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan.”
Allah menyambut angka 40 di dalam al-Quran sebanyak empat kali iaitu di dalam surah al-Baqarah: 51, al-Maa’idah: 26, Al-A’raaf: 142 dan al-Ahqaaf: 15. Antara yang boleh disentuh tentang 40 adalah kisah Nabi Musa ia di sebut di dalam surah Al-Baqarah: 51,
“Dan (kenangkanlah) ketika Kami berjanji kepada nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah ia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian setelah ia pergi kamu menyembah (patung) anak lembu. Dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri).”
Begitu juga di dalam surah al-A’raaf: 142, lagi sekali Allah sebutkan tentang tempoh masa 40 malam.
“Dan Kami telah janjikan masa kepada nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan berkatalah nabi Musa kepada saudaranya nabi Harun: “Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku, dan perbaikilah (keadaan mereka sepanjang peninggalanku) dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan.”
Manakala di dalam surah al-Ma’idah: 26, Allah berfirman,
“Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya selama empat puluh tahun. Mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (selam tempoh tersebut) di padang pasir (Sina’i). Oleh itu janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu.”
Allah memilih tempoh 40 malam untuk menurunkan kitab Taurat kepada nabi Musa. Di situ adalah tempoh yang Allah pilih, ia bukan terjadi secara kebetulan kerana sesuatu yang Allah jadikan melalui susunan dan perancangannya yang teliti. Soalnya kenapa 40?
Menurut, Penyarah Institut Kajian Hadis dan Akidah (INHAD), Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS), Dr. Mohd. Khafidz Soroni, tempoh itu adalah miqat Allah. Maksudnya ia adalah waktu yang telah ditentukan oleh Allah untuk nabi Musa. Sudah semestinya waktu itu mempunyai rahsia yang hanya diketahui oleh Allah saja.
Setakat ini belum ada lagi kajian yang dibuat untuk menyingkap rahsia di sebalik 40 namun ada penjelasannya daripada ulama tasawuf. Mereka mengatakan 40 hari atau malam merupakan waktu yang sesuai atau tempoh yang terbaik untuk menyucikan diri.
Sebab itu di dalam disiplin tasawuf ada penyucian diri atau beruzlah dengan ibadat dan zikir, ia mengambil pengertian daripada ayat yang disebutkan pada awal-awal tadi.
Begitu juga halnya dengan kumpulan tabligh yang menjadikan ayat al-Quran tersebut sebagai asas untuk melakukan dakwah ke luar daerah. Tempoh itu adalah tempoh yang wajar dan terbaik untuk menyucikan jiwa seseorang untuk kembali kepada sifat mahmudah. Itulah signifikannya di dalam sebahagian amalan umat Islam.
Ketiga-tiga ayat yang disebut tadi adalah saling berkait yang menceritakan tentang nabi Musa. Hanya surah Al-Ahqaaf yang menyebut empat puluh bukan merujuk kepada nabi Musa.
Namun surah itu amat penting kerana ia membicarakan tentang usia manusia ketika sampai empat puluh. Bersama ayat itu ada sepotong doa yang mesti dibaca ketika usia mencapai 40 tahun dan mengamalkannya. Bersambung…
_________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

