Di sini diberikan antara maksud surah Al-Ahqaaf: 15,
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh bercerai susunya dalam tiga puluh bulan.
Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepada ku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redha; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku daripada orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepada-Mu).”
Surah tersebut boleh dikaitkan dengan umur 40 adalah lambang kesempurnaan dan kematangan. Imam Sadiq percaya manusia mencapai tahap kesempurnaan ketika berusia 33 tahun dan mereka akan mengekalkan tahap kesempurnaan itu hingga mencapai umur 40.
Artikel berkaitan: Siri 1: Menyingkap rahsia 40 apakah kelebihannya dalam Islam
Pokoknya, ramai yang percaya bahawa kebolehan otak mencapai tahap paling sempurna adalah pada usia 40. Ketika usia itu juga Nabi Muhammad s.a.w. dilantik menjadi rasul. Al-Quran juga menyebut bahawa pada usia tersebut ditekankan untuk berdoa.
Jelas Penyarah Institut Kajian Hadis dan Akidah (INHAD), Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS), Dr. Mohd. Khafidz Soroni doa di dalam surah Al-Ahqaaf ayat 15, paling elok dibaca bagi mereka yang umurnya baru menjengah angka 40 tahun.
Apabila sudah berada pada usia 40 tahun ia perlu memperhebatkannya lagi. Di kalangan ahli tafsir, umur 40 itu adalah tempoh kematangan manusia, akalnya sempurna dan boleh menentukan arah hidupnya.
Ulama juga berpendapat biasanya orang yang sudah berumur 40, jika masih tidak berubah terus dengan kemungkaran maka ia akan kekal dengan perangai itu. Sebaliknya, jika sudah biasa dengan perkara baik maka mereka akan sentiasa istiqamah dengan kebaikan.
Perspektif Barat
Bukan hanya Islam saja yang memandang 40 sebagai usia penting malah masyarakat Barat pun mempercayainya. Kalau tidak, masakan mereka mengakui ada buku Life Begins at Forty yang dikarang oleh Walter B. Pitkin pada tahun 1932.
Merujuk pada Bible, 40 adalah simbol penantian, persiapan, ujian atau hukuman. Dalam erti kata lain 40 adalah menunjukkan jangka masa sesuatu generasi atau tempoh panjang, meskipun pun tidak ada sesiapa yang mempedulikan tempoh panjangnya yang sebenar.
Sebab itulah 40 juga diiktiraf oleh masyarakat barat sebagai bermulanya sebuah kehidupan. Allah telah menentukan satu tempoh tertentu yang saling berkait 40 umur tempoh kematangan bagi seseorang.
Al-Quran memang sebuah kitab yang lengkap itu memang tidak dapat dinafikan lagi. Ketika mencapai umur 40, Allah telah ajarkan kepada kita supaya berdoa,
“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepada ku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepada-Mu).”
Apa perlu buat di usia 40
Untuk menjelaskan isi doa itu, Mohd. Khafidz membahagikannya kepada beberapa perkara.
Pertama adalah bersyukur. Orang yang sudah mencapai umur 40 perlu melihat kembali kehidupan yang telah dilalui dan banyak nikmat yang telah dikecap. Bersyukur kepada nikmat Allah yang sangat banyak pada diri dan juga ibu bapa.
Usia 40 ini sama ada 1/2 daripada jangka hayat manusia, jika dipanjangkan umur hingga mencapai 80 tahun. Andai kata umur hanya sampai 60 tahun saja maka 40 itu adalah 2/3 daripada usia dan yang tinggal hanya 1/3 saja lagi. Sudah tidak banyak yang tinggal sebenarnya.
Kenapa pada usia 40 ditekankan balik untuk menghormati ibu bapa sedangkan Islam telah menegaskan bahawa menghormati ibu bapa sejak kecil lagi?
Menjelaskan hal itu pula, Mohd. Khafidz berpendapat orang yang sudah berusia 40, biasanya mempunyai dua keadaan. Sama ada ibu bapanya masih hidup tapi telah uzur atau pun sudah meninggal dunia.
Bagi yang masih mempunyai ibu bapa uzur sudah semestinya mereka memerlukan perhatian yang lebih. Jika ibu bapa telah meninggal dunia maka kenangkan balik segala jasa yang pernah ditaburkan. Ketika itu perkara yang terbaik adalah mengirimkan doa untuk ibu bapa.
Kedua, sentiasa berdoa supaya menjadi seorang yang beramal soleh. Ketika mencecah umur 40 hidup sudah stabil, tahu matlamat hidup, lebih fokus dan soal ibadat menjadi keutamaan. Sebab itu ada ulama salafi mengatakan bahawa penduduk Madinah apabila mencapai umur 40 tahun mereka akan menumpukan hidup untuk beribadat.
Bahkan begitu juga yang diamalkan ulama hebat seperti Imam al-Sayuti. Ketika usianya mencapai 40 tahun beliau telah meninggalkan dan tidak bercampur dengan segala urusan dunia. Tumpuannya ketika itu lebih di dalam hal ibadat di samping memberikan tumpuan menulis kitab.
Ketiga, berdoa supaya dikurniakan zuriat yang soleh dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa anak-anak. Memiliki anak pada usia itu adalah satu kebahagiaan yang paling lengkap dan sempurna. Kita kena fikir keadaan anak-anak apabila berusia 40 tahun, jangan biarkan keadaan anak-anak lepas bebas memilih haluan hidup.
Keempat, bersungguh-sungguh memohon keampunan daripada Allah. Ketika usia 40 itulah masanya kita perhebatkan lagi taubat kepada Allah. Walaupun taubat itu kena dilakukan sepanjang masa sejak baligh tetapi apabila menjelang 40 kena dilipat gandakan dan sentiasa ingat kepada kebaikan.
Kena ingat bahawa kita adalah di kalangan Muslim yang beramal soleh dan berpegang kepada agama Islam dengan sebenar-benarnya.
Doa itu kena sentiasa dibaca, walaupun bukan selalu tetapi seumur hidup sekali pun jadilah daripada tidak dilakukan langsung. Wallahu a’lam
______________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

