KALI ini giliran pembantu peribadi Shila Amzah iaitu Aini Shuhaidah tampil bersuara apabila namanya turut dipetik dalam perbalahan adik beradik penyanyi itu bersama Syada Amzah dan Amir Syafiq.
Berang dengan tindakan Syafiq yang memanggilnya sebagai balaci ketika mengadakan siaran langsung di Tiktok petang semalam (Rabu), Aini telah memuat naik hantaran di Instagram menyatakan dia sudah 13 tahun bersabar dengan perangai adik beradik penyanyi itu.
“Aku ini 13 tahun kerja. Luar dalam korang semua ada kat tangan aku. Aku selama ini sabar ja dengan perangai sorang-sorang. Macam-macam benda aku buat yang bukan kerja aku pun aku buat.
“Aku diam ja tak kacau hidup korang. Kau sedap panggil aku balaci. Sabar dan hormat aku dah habis sejak semalam. Sampai mati aku ingat each and everyone of you,” tulisnya.

Sementara itu, dia juga mendakwa bahawa Syafiq, 30 hanya “bersembunyi” di dalam rumah ketika diajak untuk berjumpa.
Aini juga telah didakwa bersikap biadap terhadap Fauziah Sarman, namun dia menjelaskan bahawa wanita itu terlebih dahulu menyebut nama ibunya serta menggelar dirinya sebagai anak tidak berguna.

Tidak terhenti disitu, Aini juga telah berkongsi tangkapan layar komen daripada bekas isteri Syafiq yang turut bersimpati kepada Shila serta mendakwa Syafiq culas dalam membayar nafkah anak mereka sejak berpisah tujuh tahun lalu.
Sebelum ini, kemelut adik beradik ini bermula selepas Shila membuat mengakuan bahawa dia mahu menjual rumah banglo yang kini didiami keluarganya.
Menurut Shila, kediaman keluarganya itu terlalu besar untuk isi rumah seramai lima orang, dan dia berhajat untuk membeli kediaman yang baru buat mereka.
Namun, kenyataan itu telah dinafikan oleh dua adik beradiknya iaitu Syada dan Amir Syafiq.
Menurut Syafiq, dia mendakwa bahawa Shila mahu menjual rumah itu atas dasar wang ringgit.

